Zulfahmi sedia jadi tulang belakang Damok ke saingan Moto GP

 Zulfahmi sedia jadi tulang belakang Damok ke saingan Moto GP

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin sedia menjadi ‘tulang belakang’ buat pelumba muda negara, Syarifuddin Azman sekiranya berjaya menempah slot ke Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), tahun depan.

Bekas pelumba Moto2 itu berkata karier sebagai pelumba di peringkat itu bukan mudah, justeru memerlukan sokongan dan dorongan yang kuat untuk mengatasi segala cabaran dan tekanan yang bakal dihadapi.

“Tekanan di Kejuaraan Dunia sangat tinggi, kadangkala pelumba boleh tertekan, jadi kepada siapa dia nak mengadu kalau tiada sokongan? Pasukan seperti Petronas Sepang Racing Team (SRT) ada tekanan, pelumba perlu berada di hadapan, perlu baiki diri untuk lebih laju ataupun baiki kedudukan setiap kali selepas perlumbaan.

“Sama ada Syarifuddin bersedia ke belum, beliau sudah menang di perlumbaan FIM CEV, itu bermaksud beliau sekurang-kurangnya sudah separa bersedia, sebab motosikal sama, litar pun hampir sama,” katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Sebelum ini, Prinsipal Pasukan SRT Datuk Razlan Razali menyatakan kesediaan untuk memberikan peluang kepada Syarifuddin, yang dikenali sebagai ‘Damok’ menyertai pasukan Petronas SRT pada musim depan sekiranya beliau terus mempamerkan aksi cemerlang.

Keyakinan itu hadir selepas melihat Damok muncul juara Perlumbaan 1 Moto3 Kejuaraan Remaja Dunia FIM CEV di Litar Catalunya, Sepanyol pada Ahad lepas.

Zulfahmi menegaskan bahawa untuk mencapai sasaran meraih tiket ke MotoGP, Damok perlu terus fokus dan meningkatkan prestasi pada baki saingan FIM CEV musim ini.

Mengulas mengenai Adam Norrodin yang bersaing di FIM CEV Moto2, Zulfahmi berkata walaupun gembira dengan prestasi dan keyakinan ditunjukkan Adam, namun agak kecewa dengan kemalangan pada Perlumbaan 1, hujung minggu lalu yang menjejaskan mata kejuaraan pelumba berkenaan.

Sementara itu, Zulfahmi berkata beliau gembira dengan prestasi Muhammad Hakim Danish Ramli di perlumbaan sulungnya dalam kejuaraan European Talent Cup (ETC) baru-baru ini, apabila meraih tempat ke-19 daripada 64 pelumba.

Dalam pada itu, bagi saingan musim depan, Zulfahmi berkata beliau berhasrat membawa Sharul Ezwan Mohd Sharil daripada saingan ETC ke saingan CEV Moto3 dan mengekalkan Hakim Danish di saingan ETC, namun bergantung kepada bajet yang disediakan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi program pembangunan bakat itu.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  5  =