Zoo Mini Taman Teruntum zoo hibrid pertama di dunia

 Zoo Mini Taman Teruntum zoo hibrid pertama di dunia

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin (duduk kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Manaiktaraf Mini Zoo Taman Teruntum- Projek Kerjasama Edu-Tourism antara MBK dan Wegrow Global Sdn Bhd di Kompleks MBK.

KUANTAN, 4 Sept — Zoo Mini Taman Teruntum bakal muncul sebagai zoo hibrid pertama di dunia selepas projek naik taraf siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

Projek edu-tourism penaiktarafan mini zoo itu yang bermula bulan ini dibangunkan dengan konsep baharu mengabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik prasejarah seperti dinosaur yang mengadaptasi Teknologi Industri 4.0.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata projek kerjasama syarikat swasta Wegrow Global Sdn Bhd dengan pelaburan mencecah RM12 juta itu dijangka siap dan dibuka kepada pengunjung menjelang Januari tahun depan.

Menurutnya, sebagai sebuah zoo hibrid pengunjung bukan hanya dapat melihat haiwan tempatan secara langsung malah turut berpeluang menyaksikan haiwan animatronik prasejarah yang telah pupus dan pelbagai tarikan lain.

“Apabila siap kelak Zoo Mini Taman Teruntum bakal muncul sebagai tarikan pelancongan baharu di daerah ini dan Pahang khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Manaiktaraf Zoo Mini Taman Teruntum- Projek Kerjasama Edu-Tourism antara MBK dan Wegrow Global Sdn Bhd di Kompleks MBK di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda, Setiausaha MBK, Datuk Hamiza Hamzah dan Pengarah Eksekutif Wegrow Global, Yong Lam Woei dan Teh Eu Jin.

Hamdan berkata, Zoo Mini Taman Teruntum seluas 4.4 hektar itu akan mengekalkan struktur sedia ada dan akan ditambah baik agar lebih menarik dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

“Daripada keseluruhan kawasannya, kira-kira 30 peratus akan dikekalkan untuk pameran haiwan hidup dan selebihnya bakal dibangunkan melalui projek edu-tourism yang turut menempatkan kafe bertema, makmal dinosaur dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, usaha yang dilaksanakan MBK itu bakal menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini menjelang pembukaan kembali industri pelancongan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, melalui usaha itu Zoo Mini Taman Teruntum yang telah beberapa kali dinaik taraf akan diberi nafas baharu sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi di daerah ini.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah lain juga mengambil inisiatif menarik lebih ramai pelancong ke daerah mereka dengan memperkenalkan konsep tarikan baharu yang sesuai dengan produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  −    =  31