Zii Jia tewaskan Axelsen, muncul juara Badminton Seluruh England

 Zii Jia tewaskan Axelsen, muncul juara Badminton Seluruh England

Oleh Zuan Azmi

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia muncul juara Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi.

Zii Jia menumpaskan pemain nombor dua dunia dari Denmark Viktor Axelsen dalam perlawanan yang sengit dan mendebarkan yang berlangsung dalam tiga set.

Pada set pertama Zii Jia menewaskan Axelsen dengan 30-29, manakala set kedua Zii Jia tumpas tipis 20-22 kepada Axelsen.

Namun dalam set ketiga iaitu set penentuan, Zii Jia nampak yakin meninggalkan lawannya dari awal permulaan set berkenaan seterusnya memenangi set tersebut dengan 21-9.

Ini adalah kejuaraan Seluruh England pertama dimenangi oleh Zii Jia, pemain kelahiran Alor Setar Kedah ini.

Zii Jia kali pertama menyertai kejohanan berkenaan pada tahun 2020 namun tewas pada peringkat separuh akhir kepada lawan yang sama ditewaskan hari ini iaitu Viktor Axelsen.

Kebangkitan anak didik Wong Choong Hann ini mendapat pujian ramai selepas beliau berjaya menumpaskan semua lawannya dari peringkat awal sehinggalah beliau menumpaskan juara nombor satu dunia, Kento Momota pada peringkat suku akhir kejohanan tersebut.

Dengan kejuaraan ini, rakyat Malaysia pastinya teruja kerana Zii Jia boleh dilihat sebagai satu sinar positif dan pengganti jaguh badminton negara selepas persaraan Datuk Lee Chong Wei.

Dalam pada itu, Datuk Lee turut mengucapkan tahniah kepada juara baru tersebut menerusi ciapan Twitter beliau yang berbunyi, “Tahniah Lee Zii Jia! Juara Seluruh England baru! Prestasi mengagumkan dan nampaknya anda telah menjumpai rentak anda! Teruskan usaha! (The new All England Champ! Awesome performance and looks like you have found your pace! Keep up the good work!)”

 

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  1