Zee Avi tangguh hasrat bawa suami pulang ke kampung

 Zee Avi tangguh hasrat bawa suami pulang ke kampung


PETALING JAYA : Penyanyi kelahiran Sarawak, Zee Avi menangguhkan hasrat membawa suaminya pulang ke kampung halaman gara-gara harga tiket yang melambung tinggi pada ketika ini.

Jelasnya,harga tiket penerbangan pada ketika ini terlalu mahal berbanding percutian ke Eropah. 

“Saya ada melihat tiket penerbangan ke Eropah dari 23 hingga 27 Disember, tak ada semahal balik Sarawak.

“Sebenarnya saya ada merancang untuk membawa Kenji pulang ke Sarawak bertemu dengan keluarga besar saya tapi nampak gayanya tak jadilah.

“Saya cuba cari tiket yang tak semahal itu, tapi perjalanan akan mengambil masa selama 8 jam, jadi, taklah. Tak logik,” ujarnya.

Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat itu menyarankan pihak berwajib untuk memandang serius keluhan ini dengan memantau harga tiket penerbangan terutama pada musim perayaan seperti Krismas yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Saya harap ada alasan yang munasabah kenapa harga tiket penerbangan melambung tinggi sangat. Kerana ramai kawan saya yang meluahkan rasa kurang puas hati terhadap harga tiket penerbangan ini.

“Memang saya sendiri terkejut. Ada tiket harga sampai RM2,000 untuk satu hala,” ujarnya lagi. 

Zee Avi atau pemilik nama penuh Izyan Alirahman,35, mendirikan rumah tangga bersama jejaka kelahiran Jepun, Kenji Matano pada 22 November lalu. 

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  +    =  56