Zahid, kisah Tok Kadok menang sorak kampung tergadai

 Zahid, kisah Tok Kadok menang sorak kampung tergadai

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengaku dalam wawancara TV Indonesia yang dimuatnaik melalui saluran Youtube pada 2014, bahawa ayahnya berasal dari Jogja dan Ibunya dari Ponorogo, malah sepupunya adalah Wali Kota Yogyakarta ke-9, Haryadi Suyuti.

Penglibatan Zahid dalam politik bermula sebagai Ketua Sayap Belia UMNO pada 1998.

Beliau adalah rakan setia dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka antara pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia antara tahun 1974 hingga 1982.

Pada 2 September 1998, apabila Anwar dipecat dari kabinet, Ahmad Zahid begitu lantang mempertahankan Anwar dan dilihat melawan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dengan laungan anti rasuah dan kronisme.

Anwar dan Ahmad Zahid pernah ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada September 1998.

Jadi tidak hairanlah, pada 2021, rakaman perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar Ibrahim yang ditularkan menunjukkan kemesraan dan strategi politik antara mereka.

Dua puluh tahun kemudian, pada 2018, Ahmad Zahid disabitkan dalam kes Mahkamah Tinggi membabitkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM114juta milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Pada 13 Oktober 2021, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Ahmad Zahid berbelanja mewah di Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes lebih RM1.3 juta guna kad kredit atas nama Yayasan Akalbudi.

Apa cerita Yayasan Akalbudi ini? Fahami asas ciri sebuah Yayasan.

Yayasan menerima dana dan dana itu atas nama kebajikan.

Yayasan boleh berbelanja mengikut kehendak hati pengurusannya, Yayasan juga tidak mengadakan pemilihan pengerusi ataupun mesyuarat sebagaimana pertubuhan biasa.

Siasatan mendapati Pejabat Yayasan Akalbudi tidak pernah beroperasi di alamat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada 14 Oktober 2022, Ahmad Zahid dalam Mahkamah Tinggi didakwa kerana mengarahkan sebahagian daripada wang deposit berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi dikeluarkan bagi membolehkan anak perempuannya membeli saham hotel butik di Bali, Indonesia.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi memaklumkan lebih RM9 juta disumbangkan oleh pemegang taruh MyEG Services Sdn Bhd, kepada Yayasan Akalbudi untuk tujuan membina masjid.

MyEG diberi kontrak untuk menguruskan perkhidmatan kerajaan yang berkaitan polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen, ketika itu Ahmad Zahid adalah Menteri dalam Negeri.

Rahsia terbuka ini diketahui ramai iaitu bahawa apabila seorang ketua dilantik Ketua Bahagian UMNO secara tak langsung akan mudah memperoleh kekayaan kerana pengaruhnya menyebabkannya mudah untuk dapatkan lesen kontraktor, kerja kontrak, bekal peralatan kepada jabatan, pasang pencawang dan bina jalan.

Setiap kali persidangan dulu juga diberitakan pemimpin tertentu atau perwakilan sesama mereka akan gunakan perkataan ‘ko dapat’ berapa masyuk. ..untung la.

Nama Ahmad Zahid pernah disebut dalam Persidangan UMNO kerana menjadi Pengerusi lebih 100 syarikat. Selepas persidangan semua Majlis Tertinggi yang menjawat Pengerusi diminta melepaskan jawatan dan dihadkan hanya kepada 20 syarikat.

Nama Yayasan Akalbudi memuncak di kala Ahmad Zahid menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, apabila banyak publisiti terhadap Yayasan Akalbudi menganjurkan majlis Ihya Ramadan bersama anak-anak yatim.

Di sinilah bermula tersebar khabar angin penglibatan Ahmad Zahid nendapat ‘laba’ dari permit warga asing.

Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu proaktif menyelesaikan masalah pekerja asing.

Pada 24 Mei 2021, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Sebab itu umum terima laporan berita mengenai syarikat swasta tertentu dianugerah kontrak memproses kebenaran berkaitan pekerja asing ketika zaman beliau.

Malah berlaku kerajaan Malaysia menyerahkan bulat- bulat wang kutipan e-visa warga China bernilai AS$47juta (RM198,066,952) yang dibongkar wartawan Harian Metro bahawa syarikat terbabit sebenarnya hanya terima wang dan tidak melihat pun data penting keselamatan negara.

Akhbar tempatan Harian Metro dalam siri laporan khasnya pada November 2018 mendedahkan sejak sistem eNTRI diperkenalkan, UKSB itu sudah mengutip lebih RM198,066,952 (AS$47juta) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun, tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan juga diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Sumber Harian Metro

Pada 25 Jun 2015 juga, Ahmad Zahid pernah mengumumkan pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia.

Namun, kemudiannya ia dibatalkan selepas menerima tekanan media khususnya laporan khas Berita Harian bertajuk “Dua juta pekerja asing ghaib, 1.5 juta Bangladesh nak bawa masuk”.

Secara hipotesisnya ini hanyalah salah satu cara Ahmad Zahid memukat wang untuk kepentingan diri, dan wang itu digunakan sebagai dana menaikkan namanya serta memperkukuhkan hala tuju karier politiknya.

Sebagai Menteri KDN, beliau memandang serius pembabitan warga asing dalam jenayah dan mengambil langkah tegas memperkasa pihak berkuasa terutama polis. Di bawahnya, PDRM menerima lebih peruntukkan khas untuk mengganti peralatan usang dan pembinaan balai polis serta kuarters baharu, membeli peralatan baharu seperti Unit Kereta Peronda (MPV) jenis BMW, Honda dan Unit Rondaan Bermotosikal berkuasa tinggi (URB) dan menubuhkan unit khas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG).

Adakah ia salah untuk menperkasakan polis? Namun yang menjadi persoalan siapa ‘supplier’ atau pembekal semua ini? Syarikat manakah yang dapat?

Kelihatan di jalan raya anggota polis meronda dengan kenderaan motosikal kawasaki yang dipanggil unit rondaan bermotosikal. Banyak jenama kawasaki digunakan oleh pasukan polis.

Ramai tidak tahu Kawasaki sebenarnya memegang status pemasangan tempatan yang merupakan ciri bonus untuk mereka menjadi pembekal kepada perolehan kerajaan. Kawasaki juga telah memperolehi modenas.

Dari segi pengembangan pasukan pula yang melibatkan pengambilan anggota baru dan kenaikan pangkat kepada rakyat malaysia khususnya Melayu yang banyak menyertai pasukan polis.

Pasukan PGA juga diberi pemerolehan uniform baharu, begitu juga pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) juga memperoleh kenderaan baharu seperti ambulan, kenderaan response 4×4, lori dan bot penyelamat.

Ahmad Zahid yg memegang Doktor Falsafah dalam bidang komunikasi UPM, amat bijak dalam percaturan politiknya mungkin kerana beliau pernah berkhidmat bersama ‘tiga guru politik’ yang hebat iaitu Tun M, Anwar dan Najib sepanjang karier politiknya.

Beliau melihat permasalahan dalam KDN dari segi prosidur, peralatan, logistik lalu mengusahakan ‘langkah-langkah’ yang disebutkan di atas.

Adakah langkah ini mewujudkan inisiatif pertambahan dana Yayasan Akalbudi?

Adakah sebagai Doktor Falsafah itu hebat? Pada tahun 2014 Ahmad Zahid terima kecaman hebat kerana komennya berbaur perkauman terhadap insiden letak sebiji kepala lembu di pagar rumah ADUN Seri Delima, RSN Rayer sehari sebelum bulan puasa.

Rayer sebelum ini telah mengeluarkan perkataan ‘UMNO celaka’ dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Ahmad Zahid pula membalas itulah harga yang perlu dibayar kerana bermulut celupar.

Kenyataan Zahid ini menerima kecaman orang ramai yang mengatakan sebagai Menteri KDN, haruslah lebih bertanggungjawab, perlu memupuk keamanan, keharmonian dan bukannya menggalakkan keganasan.

Pada 2016, Ahmad Zahid pula menerima kritikan sekali lagi dari Ahli UMNO dan masyarakat Melayu kerana dirakam tindakannya turun ke dalam lubang dan meletakkan batu asas pembinaan sebuah kuil Hindu di Bagan Datuk.

Adakah Ahmad Zahid mengulangi sejarah Tok Kadok, menang sorak kampung tergadai?

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  3  =