YSIJ bantu 15 keluarga mangsa ribut

 YSIJ bantu 15 keluarga mangsa ribut

David Wong (dua kiri) menyerahkan sumbangan YSIJ kepada mangsa ribut di Kampung Sungai Bunyi (Kawasan 6), Pontian, semalam

Oleh Nurman Nasyriq

PONTIAN, 12 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan bantuan segera kepada 15 keluarga di Kampung Sungai Bunyi (Kawasan 6), di sini yang terjejas akibat bencana ribut Rabu lalu.

Semua rumah mangsa berkenaan mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung dalam kejadian tengah hari itu.

Kos bantuan baik pulih rumah-rumah yang terjejas ditanggung Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan kontraktor sudah dilantik untuk memulakan kerja dengan segera.

Wakil Sultan Johor, Mejar Cina, Datuk David Wong meluangkan masa melawat kediaman penduduk dengan diiringi Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian, Datuk Ng Sea Bu, semalam.

David Wong turut menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Johor kepada setiap keluarga berserta barangan keperluan makanan daripada YSIJ.

“Baginda Tuanku Sultan amat prihatin dengan kejadian yang menimpa penduduk di mana kebanyakan rumah mengalami kerosakan teruk. Baginda juga menitahkan supaya kerja-kerja membaik pulih dimulakan segera.

“Kerja-kerja baik pulih ini dijangka siap dalam tempoh dua minggu dengan dipantau Datuk Ng yang juga merupakan sukarelawan YSIJ,” katanya yang dimuat naik dalam Faceboom rasmi Sultan Johor.

Sementara itu, seorang mangsa, Sukarno Sakir, 68, berkata semasa kejadian dia sedang mengambil air sembahyang sebelum mendengar bunyi kuat.

Pesara tentera itu bersama-sama isteri dan cucu ketika itu, berlari ke arah dapur untuk berlindung selepas melihat bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

“Namun, saya bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku walaupun kejadian berkenaan menyebabkan kerosakan teruk di bahagian bumbung,” katanya.

Kasmani Sulaiman, 41, bersyukur atas bantuan segera yang dihulurkan Sultan Johor dalam meringankan beban semua mangsa.

“Kediaman saya turut mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung sehingga berlaku pintasan elektrik kerana air hujan mencurah masuk.

“Saya dibantu isteri dan anak-anak dengan segera mengalihkan pelbagai barangan di ruang tamu termasuk perkakasan elektrik kerana bimbang akan turut rosak dibasahi air hujan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  3