Yayasan Petronas bantu PdPR 414 pelajar di Johor

 Yayasan Petronas bantu PdPR 414 pelajar di Johor

Khairuddin Mustapha (kiri), menyerahkan peranti digital kepada pelajar tingkatan 3, Sazyyana Nazzura Sulaiman.

JOHOR BAHRU, 22 Jul  — Petronas menerusi Yayasan Petronas menyumbangkan data internet bernilai lebih RM1 juta kepada seramai 414 pelajar di negeri ini bagi memastikan tiada pelajar keciciran pembelajaran mereka dalam tempoh pandemik COVID-19.

Sumbangan berkenaan bertujuan untuk memberikan akses internet yang lebih baik, khususnya kepada pelajar dalam mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan itu merupakan komitmen Petronas terhadap program CERDIK.

Jelasnya, CERDIK merupakan satu inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran dalam talian.

“Melalui CERDIK, kami mahu menyediakan akses yang efisien bagi mendapatkan pendidikan berkualiti selain merapatkan jurang digital pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta luar bandar.

“Semoga mereka tidak ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik terutamanya sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kaedah PdPR berikutan pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam program itu, Petronas menyumbangkan 414 unit peranti digital kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diedarkan kepada tiga buah sekolah di Johor, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi, SMK Simpang Renggam dan SMK Seri Lalang.

Sazli berkata, setiap peranti digital tersebut dilengkapi dengan perkhidmatan data percuma, penyelenggaraan, sokongan teknikal dan jaminan bagi menyokong keperluan pelajar untuk tempoh akademik selama tiga tahun.

Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Kota Tinggi, Khairuddin Mustapha berbesar hati kerana sekolah berkenaan telah dipilih oleh Yayasan Petronas bagi menjayakan program tersebut.

“Terima kasih kerana memilih sekolah kami dan bantuan Yayasan Petronas ini akan dapat membantu mengurangkan beban sebahagian besar pelajar daripada keluarga B40 di sekolah ini, khususnya mereka yang dalam Tingkatan 3,” ujarnya.

Fatin Fatihah yakin tidak akan ketinggalan pelajaran lagi selepas ini.

Seorang penerima sumbangan, Fatin Fatihah Fadzillah, 15, yakin dia tidak akan ketinggalan pelajaran lagi selepas ini kerana kini telah memiliki peranti digital untuk kegunaannya.

“Sebelum ini saya berkongsi peranti sedia ada dengan seorang lagi adik. Kini saya sudah ada sendiri dan tidak akan ketinggalan kelas selain boleh memberi fokus sepenuhnya,” katanya yang berterima kasih kepada pihak Yayasan Petronas.

Sejak Mei tahun ini, Yayasan Petronas telah mengedarkan sebanyak 12,000 peranti digital dan peranti sokongan bernilai keseluruhan RM30 juta kepada 81 sekolah di 69 daerah di seluruh negara.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *