Yayasan Komanwel teroka teknologi digital bantu masyarakat

 Yayasan Komanwel teroka teknologi digital bantu masyarakat

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Iktibar daripada krisis COVID-19, mendorong Yayasan Komanwel meneroka dan mempercepat penggunaan teknologi digital untuk memacu program yang fleksibel dan kreatif bagi membantu memperkasa masyarakat serta memastikan golongan ini dapat menikmati manfaatnya.

Pengerusi Yayasan Datuk Sudha Devi K.R Vasudevan berkata walaupun tiada yang dapat menggantikan interaksi bersemuka, penggunaan teknologi membuka peluang baharu serta memperluas jangkauan program yayasan di negara anggota.

“Teknologi telah memungkinkan sesuatu terjadi walaupun tanpa perlu bersemuka secara fizikal. Kita boleh bekerja walau di mana kita berada. Lebih ramai orang dapat menyertai program tanpa kehadiran fizikal,” katanya dalam temu bual dengan Bernama melalui aplikasi Zoom.

Temu bual itu sempena Hari Komanwel, yang disambut pada Isnin kedua setiap Mac.

Dalam menangani cabaran pandemik COVID-19, terutama pada golongan rentan, beliau berkata yayasan itu terus aktif menyumbang ke arah penyertaan   masyarakat dalam pembangunan.

“Ini sangat penting dalam aspek seperti memperkasakan masyarakat dan golongan belia, kesaksamaan jantina, tadbir urus tempatan serta sosial untuk membantu golongan paling terkesan akibat pandemik dan menetapkan tahap pemulihan berkekalan.

“Sekarang suara rakyat lebih penting,” kata Sudha Devi, yang melakar sejarah menjadi rakyat Malaysia dan Asia pertama dilantik sebagai Ketua Yayasan Komanwel.

 

PELAN STRATEGIK YAYASAN KOMANWEL 2021-2026

Dalam mengharungi era pasca-COVID-19, Sudha berkata Pelan Strategik Yayasan Komanwel 2021-2026 menumpukan pendekatan terbaik untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan dalam melaksanakan fungsinya, meskipun berdepan sumber daya serta kemampuan yang terhad.

Pelan strategik yang ketiga itu disusun untuk tempoh lima tahun. Draf ini diharap dapat disiapkan dan dikemukakan kepada Lembaga Gabenor Yayasan pada Jun.

Sudha Devi, yang memulakan tugasnya sebagai Pengerusi Yayasan pada 1 Januari lalu, berkata pasukannya sudah siap sedia untuk menganjurkan Forum Rakyat Komanwel 2021, sebagai sebahagian daripada Mesyuarat ke-26 Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Kigali, Rwanda pada Jun.

Bertemakan “Our Health, Our Planet, Our Future”, bakal menjadi mesyuarat terbesar pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mengadakan kerjasama dan dialog dengan pihak pemerintah.

 

PROJEK KEMASYARAKATAN YAYASAN KOMANWEL DI MALAYSIA

Mengenai program dijalankan Yayasan Komanwel di Malaysia, Sudha Devi berkata  dua projek sedang dilaksanakan antaranya projek Pembangunan Sumber Manusia Untuk Kawasan Luar Bandar (DHRRA) bagi membantu orang tanpa kewarganegaraan dan meningkatkan kesedaran mengenai isu itu.

“Projek ini bagi menangani isu tiada kewarganegaraan terutama golongan wanita dan kanak-kanak yang rentan,” kata Sudha Devi.

Tempoh projek ini adalah 48 bulan dan dilaksanakan melalui pemberian geran bernilai £ 189,376 (RM1.07 juta) oleh Yayasan Komanwel.

Yayasan tersebut baru-baru ini turut memberikan ‘Geran Khas COVID-19’ di bawah DHRRA.

“Projek ini juga bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam memerangi wabak,” katanya.

 

YAYASAN KOMANWEL 

Yayasan Komanwel ditubuhkan pada 1 Mac 1966, oleh ketua-ketua kerajaan negara-negara Komanwel.

“Ia menjadi penghubung antara masyarakat dan pihak pemerintah, menggalakkan penyertaan masyarakat sivil, mendukung inisiatif supaya suara mereka didengar dan memastikan kemampanan dasar yang dilaksanakan pemerintah,” kata Sudha.

Keahliannya secara sukarela; dan sehingga kini, 46 daripada 54 negara Komanwel menjadi anggota Yayasan.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

82  −  77  =