Yang mahu memecahbelahkan Melayu adalah Melayu sendiri – Nadzim Johan

 Yang mahu memecahbelahkan Melayu adalah Melayu sendiri – Nadzim Johan

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Sering kali rakyat disajikan berita yang semakin memburukkan suasana harmoni antara kaum dan lebih menyedihkan apabila perpecahan yang berlaku adalah di kalangan bangsa Melayu sendiri.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan ketika dihubungi Wacana.my menyatakan rasa yang amat kesal dengan situasi sekarang yang menyaksikan perpecahan di kalangan Melayu.

“Amat memalukan kerana yang mahu memecahbelahkan bangsa Melayu adalah orang Melayu sendiri, tak malu ke?” katanya.

Menurut beliau, ada kalangan masyarakat Melayu di negara ini amat mementingkan diri tanpa memikirkan kesan jangka panjang daripada perbuatan mereka sendiri.

“Adakah mereka mahu orang Melayu di sini menerima nasib sama seperti kaum Melayu Campa atau kaum Rohingya yang kini mengemis di negara sendiri?” tegasnya.

Melihat perkembangan terkini terutama dalam dunia politik negara, Nadzim menyatakan kebimbingan dan mahu rakyat lebih bijak menilai apakah keutamaan bangsa Melayu masa kini.

Beliau menyarankan ahli politik Melayu supaya belajar dari DAP dan MCA yang tidak memecahbelahkan kaum Cina di negara ini walaupun mereka tidak sependapat dalam arena politik.

“Kita yang kononnya ada pegangan iman dan budaya serta digelarkan penghuni asal bumi bertuah Malaysia ini sibuk bergaduh sesama kita, untuk apa?” tanya beliau lagi.

Justeru, Nadzim mahu rakyat Malaysia khususnya orang Melayu untuk bertindak menguatkan perpaduan bangsanya dan mengabaikan pihak yang cuba memecahbelahkan mereka.

“Kesan perpecahan bangsa ini amat bahaya. Saya khuatir kita akan kehilangan ketuanan Melayu dan nasib kita semua akan berakhir dengan tragedi,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  8