Yang di-Pertuan Agong dapat nasihat bebas

 Yang di-Pertuan Agong dapat nasihat bebas
Oleh Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

 

SEPERTI kita maklum, Proklamasi Darurat diwartakan pada 12 Januari 2021 setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021. Setelah itu, satu Ordinan yang dinamakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah diperkenan oleh Baginda pada 14 Januari 2021. Ia adalah satu ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal 150 (2B).

Fasal (2B) memperuntukkan, “Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.”

Sementara itu, pada perenggan kesembilan Titah Diraja yang dikeluarkan Istana Negara pada 12 Januari 2021 dinyatakan: “Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.”

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 2 memperuntukkan: “(1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Koronavirus 2019 (COVID-19). (2) Anggota jawatankuasa khas bebas itu hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Justeru, bagi memenuhi peruntukan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka pada 9 Februari 2021 YAB Perdana Menteri telah mengumumkan nama Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Tun Arifin Zakaria, bekas Ketua Hakim Negara telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas ini dan 18 yang lain dinamakan sebagai ahli Jawatankuasa.

Dari segi tujuan penubuhan Jawatankuasa itu adalah dihasratkan, seperti dinyatakan dalam Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah untuk “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Koronavirus 2019 (COVID-19)”.

Justeru, skop bidang tugas Jawatankuasa Khas Bebas ini adalah terhad kepada tujuan yang dinyatakan dalam Ordinan Darurat ini iaitu untuk menasihati tentang wujud atau tidak wujud darurat besar yang berterusan yang mengancam ke atas tiga perkara dan dikaitkan dengan COVID-19. Pada anggapan saya, Jawatankuasa Khas Bebas ini tidak boleh memberikan nasihat berkaitan perkara-perkara lain selainnya. Sebagai contoh, sekiranya diteliti tujuan penubuhannya, jawatankuasa itu tidak boleh memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani pandemik. Walaupun begitu, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah, kita tidak diberikan perincian tentang terma lengkap lantikan jawatankuasa tersebut. Lazimnya, apabila suatu keahlian jawatankuasa dilantik, lantikan itu disertai terma rujukan atau terma lantikan bagi kerja yang akan dilaksanakan.

Bagi tujuan meneliti perkara berkaitan darurat oleh pihak kerajaan, YAB Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat pada 16 Januari 2021. Jawatankuasa Teknikal ini dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali selain lapan ahli tetap.

Antara lain tanggungjawab jawatankuasa ini ialah memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat; meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian; menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri; dan mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Berbalik kepada Jawatankuasa Khas Bebas, ia adalah mekanisme sesuai untuk memastikan Proklamasi Darurat hanya boleh diteruskan sekiranya wujudnya asas kepada proklamasi tersebut. Bagi memastikan ia satu jawatankuasa yang bebas, pendekatan dalam pelantikan keahliannya adalah mewakili profesional dalam bidang berkaitan. Bidang itu termasuk bidang perundangan, pentadbiran negara, keselamatan, kesihatan, agama, pendidikan dan Ahli Parlimen yang mewakili pelbagai parti politik.

Atas tiket bidang perundangan, Pengerusi Jawatankuasa Khas adalah bekas Ketua Hakim Negara dan Dato’ Setia Sallehuddin Saidin, sebagai bekas Timbalan Pendakwaraya. Namun, tiada bekas Peguam Negara yang dilantik. Mungkin memadai dengan adanya bekas Ketua Hakim Negara. Bekas Ketua Setiausaha Negara boleh dikatakan sebagai mewakili bidang hal ehwal pentadbiran negara. Bagi bidang keselamatan, bekas Ketua Polis Negara dan bekas Panglima Angkatan telah diperkenan lantikannya. Bidang kesihatan pula diwakili bekas Ketua Pengarah Kesihatan, pakar bedah jantung dan pakar kesihatan awam. Pada pemerhatian saya, bidang kesihatan ini tidak diwakili oleh pakar virus. Dalam bidang agama, diwakili Mufti Perlis. Dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pendidikan diwakili Pro-Canselor Universiti Cyberjaya.

Dengan keanggotaan Ahli Parlimen yang mewakili parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas ini mengambil kira pandangan wakil rakyat. Walaupun jawatankuasa ini dihasratkan apabila dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Bebas, sebenarnya bebas daripada apa? Ia mungkin dimaksudkan sebagai bebas daripada pengaruh atau campur tangan kerajaan. Dan ia dihasratkan sebagai “bebas” bagi memastikan Yang di-Pertuan Agong dinasihati dengan pandangan yang seimbang dalam pelbagai bidang.

Apabila lantikan dibuat dalam kalangan wakil parti politik, saya fikir pengaruh kefahaman politik masih ada. Namun, pandangan wakil parti politik ini diharapkan dapat dirasionalisasikan dengan kebolehupayaan wakil rakyat melupakan buat seketika sentimen kepartian dan memberikan tumpuan kepada realiti kepentingan negara dan rakyat.

Selain itu, rasionalisasi daripada ahli jawatankuasa yang lain juga boleh membantu dalam memastikan keputusan awatankuasa ini bebas daripada perkara yang menggugat kebebasannya, terutama dari perspektif politik kepartian. Saya fikir, wakil rakyat akan dapat memberi sumbangan penuh kepada kewibawaan Jawatankuasa Khas Bebas ini.

Sebagai kesimpulan, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas ini adalah mekasnisme utama dan menonjol dalam memastikan Yang di-Pertuan Agong mendapat nasihat yang tulus dan bebas, serta Baginda tidak hanya merujuk atau mendapat nasihat kerajaan. Jawatankuasa ini dapat membantu Yang di-Pertuan Agong mendapat nasihat yang bebas daripada pengaruh kerajaan dalam membuat keputusan sama ada bagi meneruskan darurat sehingga 1 Ogos 2021 seperti diwartakan atau menarik balik proklamasi dan ordinan yang diperkenan semasa darurat sebelum tarikh yang ditetapkan.

Penulis ialah Penyandang Kursi, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

34  −    =  31