Wujudkan jawatan TPM hanya akan jadi punca perpecahan

 Wujudkan jawatan TPM hanya akan jadi punca perpecahan

Razrul Anwar memasang bendera Malaysia selepas melancarkan program Semarak Merdeka Kibaran Jalur Gemilang di Larkin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU, 29 Ogos — Cadangan mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya akan menyebabkan perpecahan dalam parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, tidak ada keperluan untuk mewujudkan jawatan itu walaupun masih ada cakap-cakap mengenainya, namun perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Mungkin selepas beberapa bulan nanti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melantik timbalannya atau jawatan itu tiada sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Lagipun Kabinet baharu ini dijangka tidak lama dan berakhir pada PRU15. Jika jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan semula, calon yang paling layak adalah daripada BERSATU,” katanya selepas melancarkan program Semarak Merdeka Kibaran Jalur Gemilang di Larkin, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Pesara Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikuti jejak Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Perkara berkenaan diumumkan Ismail Sabri pada Jumaat yang sebelum ini jawatan berkenaan digalas oleh beliau.

Mengulas lanjut, Razrul Anwar berkata, semua pihak perlu berhenti berpolitik ketika ini dan menumpukan terhadap usaha membantu rakyat termasuk menghentikan kritikan terhadap Kabinet yang baharu dibentuk.

“Hentikan mengkritik Kabinet baharu kerana kalau kita kritik sampai bila akan habis. Kita tidak mahu ada lagi yang mahu menarik sokongan dan politik kembali bergolak. Ini akan menjadikan Malaysia tidak maju.

“Cuba lihat keadaan negara hari ini akibat pandemik ini, pelajar tidak dapat pergi sekolah dan ada yang tidak dapat pergi bekerja. Kalau nak berpolitik atau tukar pemimpin, tunggu PRU15.

“Ada kawan dari negara luar kata pada saya, dalam masa satu penggal PRU kita sudah bertukar tiga Perdana Menteri, malah menjadi bahan jenaka apabila parti yang kalah pula jadi dominan dan memerintah,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  11  =  13