WHO: negara kaya bolot vaksin; negara miskin jadi mangsa

 WHO: negara kaya bolot vaksin; negara miskin jadi mangsa

Ketua Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) melaungkan kebimbangan beliau tentang perlaksanaan program imunisasi COVID-19, di mana negara-negara kaya dan syarikat-syarikat farmasi berganding tangan untuk mendapat dos vaksin dahulu bagi rakyat mereka, berbanding negara-negara miskin.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, oleh kerana negara-negara kaya membuat perjanjian pembelian tersendiri dengan syarikat-syarikat pembekal vaksin dengan harga yang tinggi, program COVAX kendalian WHO yang ditubuhkan bagi membekalkan vaksin secara bersepadu dan adil ke seluruh dunia kini menghadapi kesukaran mendapat bekalan untuk disalurkan ke komuniti-komuniti yang lebih memerlukan.

Katanya, di salah sebuah negara miskin itu, sehingga kini hanya 25 dos telah diberi kepada rakyat, dan beliau memberi amaran bahawa ini bakal menjadi “kegagalan moral tahap bencana”.

Sehingga kini, 130 juta kes COVID-19 telah dicatat di seluruh dunia, mengorbankan lebih 2.8 juta nyawa.

Ketika berucap di mesyuarat lembaga pengarah WHO Isnin lalu, Tedros berkata: “Kita mendapati, janji untuk memberikan akses yang adil kepada vaksin kepada semua umat manusia kini sukar untuk ditunai.

“Lebih dari 39 juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat 49 negara terkaya dunia. Sementara itu, di sebuah negara termiskin pula, hanya 25 dos telah diberikan. Bukan 25 juta; bukan 25 ribu; hanya 25.”

Ketua badan kesihatan dunia itu tidak menyebut negara mana yang beliau maksudkan, tetapi seorang jurucakap WHO mengesahkan yang beliau bercakap mengenai Guinea, Afrika Barat.

“Perlu saya tekankan: dunia kini diancam kegagalan moral yang dahsyat. Dan kos kegagalan ini akan dibayar dengan nyawa dan kehidupan di negara-negara termiskin,” kata Tedros.

Beliau memuji usaha membangun dan meluluskan vaksin dengan cepat dan efisyen, kurang dari setahun semenjak virus COVID-19 itu dikenalpasti, sebagai “kejayaan saintifik”, tetapi mengkritik perlaksanaan dos vaksin tersebut sebagai satu lagi halangan “jurang di antara yang kaya dan yang miskin”.

Tedros menambah, kemunculan varian-varian baru koronavirus ini, seperti yang terjadi di Brazil dan Afrika Selatan baru-baru ini, menunjukkan betapa penting dan kritikalnya pembekalan vaksin secara sama rata ke seluruh dunia.

“Bekalan vaksin akan cukup untuk semua orang,” kata beliau secara maya kepada ahli-ahli lembaga pengarah WHO dari ibu pejabatnya di Geneva, Switzerland.

Namun begitu, setiap negara perlu bekerjasama untuk memberi keutamaan kepada mereka yang berisiko tinggi, kata beliau, sambal menambah, “situasi di mana muda-mudi yang sihat di negara kaya mendapat dos vaksin lebih awal daripada golongan warga tua dan pekerja barisan hadapan di negara-negara miskin adalah salah dan tidak bermoral.”

Tedros mengkritik negara-negara maju yang membuat perjanjian persendirian dengan farmasi-farmasi pembekal vaksin, menafikan bekalan yang sepatutnya ke program COVAX. Tahun lalu, sebanyak 44 perjanjian sedemikian telah ditandatangani, dan 12 telah dimeterai setakat ini pada tahun 2021.

“Ini boleh membantutkan pembekalan vaksin COVAX dan menyebabkan longgokan vaksin di pasaran gelap, pasaran yang kacau bilau, tidak teratur dan gangguan sosial dan ekonomi: satu situasi yang sepatutnya dielakkan dengan adanya program COVAX,” tambah Tedros.

Menurut ourworldindata.org, satu inisiatif University of Oxford yang mengumpul data pandemik ini, negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini mendahului pemberian vaksin kepada rakyatnya, dengan kadar 1.16 dos setiap 100 rakyat. Ini diikuti dengan Israel (1.11), Bahrain (0.42), UK (0.39) dan Amerika Syarikat (0.24).

Jeremy Farrar, pengarah pusat penyelidikan Wellcome di UK berkata, amaran yang dilaungkan Tedros amat tepat. Menurut ciapan Twitter beliau, sekiranya pandemik ini tidak ditangani secara keseluruhan di serata dunia, varian-varian virus baru akan muncul – and ia mungkin akan mengalahkan vaksin-vaksin yang kini sedang direbut itu.

— scidev.net

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  36  =  44