Westports catat untung bersih RM208.32 juta pada suku pertama

 Westports catat untung bersih RM208.32 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR, 29 April — Westports Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih  RM208.32 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 berbanding RM152.81 juta pada suku yang sama 2020.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Westports menjelaskan perolehan turut meningkat kepada RM508.16 juta daripada RM473.47 juta bagi tempoh yang sama.

Menerusi kenyataan berasingan pula, pengendali pelabuhan tersenarai yang terbesar di negara ini menambah, prestasi lebih baik bagi peningkatan perolehan kasar itu didorong terutama oleh perolehan lebih tinggi daripada segmen kontena, memandangkan jumlah kendalian menokok lima peratus kepada 2.66 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah menyifatkan prestasi suku pertama itu sebagai penting setelah syarikat melabur dan menyiapkan kawasan kontena Zon Z, yang terletak di Terminal Kontena 9 (CT9) membabitkan kos RM81 juta pada tahun lepas.

“Menjelang akhir 2021, kami akan menyiapkan tambahan 19 ekar bagi kawasan Terminal Kontena 8.

“Selain itu, syarikat juga masih melabur untuk lebih banyak peralatan pengoperasian terminal dan jeti terminal pukal cecair 5 baharu untuk memperkukuh Pelabuhan Klang sebagai antara hab pemunggahan ke kapal yang utama di Asia Tenggara bagi pakatan perkapalan kontena antarabangsa,” katanya.

Mengenai prospek, Westports menjelaskan ia menjangkakan pertumbuhan pengendalian kontena satu digit bagi 2021.

“Program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh dunia akan mengorak laluan bagi pemulihan aktiviti ekonomi dan keyakinan pengguna manakala rangsangan fiskal akan menyokong aktiviti ekonomi di banyak negara,” jelasnya.

Bagaimanapun Westports juga menekankan bahawa trajektori ke arah keadaan lazim masih mengalami pelencongan disebabkan kesegeraan pelaksanaan program vaksinasi yang berbeza, peningkatan semula sporadik atau kesan pandemik yang berlanjutan.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

47  −    =  39