• Friday, 18 June 2021, 1:14 am

Warga Jepun fasih bahasa Melayu, rindu Malaysia

 Warga Jepun fasih bahasa Melayu, rindu Malaysia

Dari kiri, Masaru Yuneno, Dato Tarmimi Siregar, Nor Amin dan rakan sekerja mereka,Takeda bergambar kenangan di Radio Jepun NHK bahagian Bahasa Melayu

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 26 Mei — Berjalan di kota bersejarah Tokyo sememangnya satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Apatah lagi suasana nyaman musim luruh ketika lawatan saya ke sana beberapa tahun lalu masih segar terpahat diminda.

Lawatan 14 hari ke Jepun bertujuan mempromosikan produk makanan halal Malaysia di sana telah mendapat perhatian warganegara Matahari Terbit itu.

Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah kepetahan seorang warga Tokyo bertutur Bahasa Malaysia.

Masaru Yuneno, 64, tidak pernah berhijrah ke Malaysia. Sepanjang mengenali Malaysia, Yuneno hanya mengadakan beberapa lawatan singkat ke negara ini untuk merapatkan lagi hubungan dan semangat setia kawan yang dibinanya dengan warga Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Ikuti temubual eksklusif Wacana.my bersama Bekas Penerbit Rancangan di NHK Tokyo itu yang berasal dari Fukushima, Jepun.

“Saya bekerja di NHK, Radio Jepun di meja Bahasa Malaysia pada 1979, ketika itulah saya mula belajar Bahasa Melayu,” katanya.

Walaupun pernah belajar Bahasa Indonesia di Tokyo University of Foreign Studies jabatan Bahasa Indonesia, Yuneno mendapatiĀ  Bahasa Melayu berbeza dari Bahasa Indonesia.

“Pada mulanya, saya dipuji kerana ‘pandai berbahasa Indonesia’, sebenarnya ia bermakna bahawa saya tidak pandai berbahasa Melayu,” katanya.

Pada masa itu (1979), tidak ada sekolah di Jepun untuk belajar Bahasa Malaysia. Tetapi Yuneno bernasib baik, kerana ada bimbingan dari rakan-rakan orang Melayu yang bekerja sama di Radio Jepun.

“Saya dapat mempelajari bahasa Melayu secara praktik,” katanya.

Ditanya mengapa beliau lebih berminat menggunakan Bahasa Melayu, Yuneno berkata, tuntutan kerjanya yang meminta beliau menggunakan Bahasa Melayu setiap hari seperti menyemak skrip, temu ramah dengan orang Melayu,Ā  serta sering keluar makan dan minum bersama dengan rakan sekerja berbangsa Melayu, bahasa dan budaya Melayu telah menjadi sebati dengan dirinya.

“Ia sudah seperti menjadi darah daging saya, boleh dikatakan saya telahĀ ā€œdiMelayukanā€ oleh rakan-rakan sekerja saya ketika itu,” katanya.

Menyentuh perayaan terbesar di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Yuneno berkata sambutan di sana tidak begitu meriah kalau dibandingkan dengan Hari Natal pada Disember kerana segelintir sahaja orang Islam di Jepun.

“Saya sudah cuba berpuasa namun hanya bertahan satu hari sahaja. Ini bukanĀ puasa yang sebenar tapi dalam kategoriĀ seperti berdiet,” katanya sambil menambah beliau mungkin tidak boleh mampu berpuasa untuk satu bulan.

Yuneno mempunyai rakanĀ  karib di Malaysia yang beliau panggil Moshi Moshi Nor Amin.

“Beliau adalah teman yang pernah tinggal bersama saya selama 3 tahun di Tokyo. Semua anak saya (3 orang lelaki) pernah tinggal di rumah keluarga Nor Amin di Malaysia selama sebulan ketika mereka menjadi berumur 20 tahun,” katanya

Hubungan dua keluarga ini telah berterusan lebih dari 40 tahun, dan Yuneno harap ia akan berlanjut lagi dari generasi ke generasi anak dan cucu.

Sejak COVID-19 melanda dunia, Yuneno tidak lagi boleh melawat Malaysia.

“Memang saya amat rindukan Malaysia, kerana sudah lama tidak merasa masakan Malaysia di Jepun. Masakan Malaysia enak kerana makan bersama kawan-kawan. Waktu makan, mesti ada teman. Makan seorang tak sedap!” tegasnya.

Walaupun mampu memasak hidangan Malaysia, Yuneno berkata perasaannya tidak sama.

“Masak seorang tak senang hati, Saya mau masak bersama dengan kawan-kawan di Malaysia, barulah ada rasa Melayu yang menggembirakan,” katanya mengakhiri bicara.

Wacana.my akan menghantar kiriman pes masakan yang dijual di iksmart.com.my kepada Yuneno untuk beliau mencuba bersama keluarga disana.

Jika pembaca mempunyai cadangan pes makanan untuk dihantar, hubungi penulis di suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *