Warga emas maut langgar lori PLUS

 Warga emas maut langgar lori PLUS

Oleh Nurman Nasyriq

TANGKAK, 12 Jun – Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang dinaiki melanggar sebuah lori milik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Kilometer 169.2 arah selatan di sini semalam.

Kemalangan pada jam 1.49 petang itu melibatkan sebuah kereta Proton Iswara dipandu Tee Sing Kiat, 65, dan penumpang Mohd. Halim Tan Abdullah, 61, dengan lori PLUS seberat tiga tan.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, semasa kejadian lori PLUS berkenaan sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di lorong kanan jalan.

“Ketika itu laluan lorong kanan telah ditutup dengan kon bermula dari Kilometer 172 sehingga Kilometer 169.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa Proton Iswara telah memasuki lorong kanan yang ditutup dengan kon dan terus melanggar belakang sebelah kiri lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Iswara maut, manakala rakannya cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Tangkak manakala pemandu lori PLUS tersebut terselamat.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya kemalangan di Kilometer 169.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Tangkak, semalam

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Azlan Ramli berkata, pemandu Proton Iswara tersepit di bahagian pemandu dan pihaknya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tersebut tamat jam 2.04 petang.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

75  −  70  =