Waran tangkap Sajat dikeluarkan

 Waran tangkap Sajat dikeluarkan

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Feb. — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengarahkan anggota dan pegawainya untuk menangkap usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat, atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapat waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad, 36, oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Waran berkenaan dikeluarkan susulan kegagalan Muhammad Sajjad untuk menghadirkan diri di prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Selasa lalu.

“JAIS mendapat waran tangkap terhadap Sajjad petang semalam. Kira-kira 122 anggota dan pegawai JAIS dikerahkan untuk mencari Sajjad di seluruh Selangor,” katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajjad atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas tuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat di premis kecantikannya pada 23 Februari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Shahzihan berkata, pihaknya belum menemui serta membuat sebarang tangkapan terhadap Muhammad Sajjad.

“Setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan, pasukan penguatkuasa kita sudah pun digerakkan ke seluruh Selangor bermula hari ini untuk mengesan kedudukan Muhammad Sajjad,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

81  −    =  72