Wanita-wanita gemuk Harris Ribut

 Wanita-wanita gemuk Harris Ribut

Oleh Mohd Kamal Ahmad

ADA colloquialism (ungkapan) menyebut ‘It ain’t over till the fat lady sings’. Hebat wanita gemuk, bukan? Maknanya seseorang tidak boleh membuat keputusan atau pendirian sebelum sesuatu keadaan itu betul-betul tamat. Wanita gemuk juga dikaitkan selera makan yang tinggi atau kuat makan dan konon tidak berminat menjaga keterampilan badan. Ada juga wanita gemuk yang berasa malu dan inferiority complex kerana kegemukan itu bukan kemahuan mereka.

Apapun pandangan atau tanggapan orang mengenai wanita gemuk, tetapi bagi Harris Ribut, 70, barisan wanita-wanita gemuk dalam hidupnya memberi mesej dan pengertian tersendiri.

Siapa Fat Lady? “Dia adalah garapan daripada imaginasi karektor ibu saya – Allahyarhamah Hajah Lempah binti Haji Daud,” jawab Harris. Itulah ilham yang Allah titiskan kepadanya, sehingga lahir ratusan karya Fat Lady dan Fat Ladies sejak 1997. Beliau memindahkan imaginasi itu ke atas kertas menggunakan pen untuk sketching. Namun kebanyakan karyanya menggunakan medium cat minyak di atas kanvas manakala warna air di atas kertas.

Latar belakangnya, adalah seorang artis grafik berpengalaman di syarikat majalah dan akhbar. Dunianya tidak lari dari gumpalan ‘cow gum’ dan rokok kretek. Beliau sifu kepada ramai artis grafik dan wartawan ketika itu. Kerana komitmen yang tinggi, makan nasi bungkus dan sama-sama mengerikut tidur di bawah meja adalah lazim selepas deadline menyiapkan artwork akhbar mingguan popular 1980-an yang perlu dicetak keesokan harinya.

Karektor Harris sangat ringkas. Tutur bahasanya lembut, nadanya sejuk dan beliau sentiasa merendah diri. Penampilannya bersahaja dan jauh sekali berlebihan. Ketika menjadi artis grafik beliau kadang kala perlu struggled untuk menyara keluarga dengan gaji biasa-biasa sahaja. Naik bas mini atau bas SJ untuk ke mana-mana. Namun susah payah beliau menjadi artis grafik pada zaman 1980 hingga 1990-an berubah akhirnya.

Seperti disebutkan tadi, ketentuan Allah telah merubah rentak hidup dan nafas kehidupan Harris. Munculnya idea dari imaginasi Fat Lady dan disusuli dengan siri Fat Ladies, pada 1997 telah membawa beliau ke lapangan cari makan yang berbeza – daripada artis grafik kepada pelukis!

Langkah kanan Harris berterusan sehingga beliau dapat bertapak untuk berkarya dengan kelas tersendiri di Kompleks Kraf, Jalan Conley di Kuala Lumpur. Beliau menjadi pelukis sepenuh masa dengan imej, kredibiliti dan sarat dengan imaginasi karektor sendiri pada setiap karyanya di situ sejak 22 tahun lalu.

Di perkampungan seni itu, Harris menghasilkan enam siri Fat Lady dan Fat Ladies iaitu Siri Kemban, Siri Mama, Siri Sembang-Sembang, Siri Tari, Siri My Ladies dan Siri Pasar.

“(untuk) menjadi pelukis yang baik, lukis apa yang orang lain belum lukis. Cipta sesuatu yang orang kenal atau tahu kita (trade mark),” demikian pendiriannya.

Berkarya dengan Fat Lady kian menjadi darah dagingnya sejak itu. Prestasinya turut membolehkan beliau membawa karyanya menyertai ekspo dan galeri lukisan di luar negara iaitu tiga kali di Singapura, selain New Zealand (tahun 2000) dan Sweden (2006). Beliau menghabiskan masa sebulan di setiap lokasi.

Percayakah anda, karya Harris turut menjadi bahan tesis selama tiga bulan oleh lima pelajar iaitu tiga peringkat master untuk ke luar negara dan dua pelajar PHD. Lukisan beliau juga acap kali memasuki gedung lelong dan untuk layak ke sana, setiap karya perlu melalui penapisan dan penilaian yang ketat.

Terkini, ada 14 karya yang sedang disiapkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini. Ia dalam proses sentuhan akhir atau fine tune. Dalam antara karyanya, Harris menampilkan pembaharuan dengan memasukkan imej wanita normal di kalangan wanita-wanita gemuknya. Fat Ladies and Ordinary Lady ini dipaparkan di atas kanvas berukuran 6 kaki x 8 kaki persegi. Satu lagi karyanya ialah Pemain Flute dan Pemain Violin berukuran 5 kaki x 5 kaki tiap satu yang hampir siap untuk dijual.

Kebanyakan lukisannya disiapkan dalam seminggu manakala bagi saiz besar memakan masa sehingga sebulan. Mungkin tidak ramai tahu bahawa dalam seni lukis, lukisan yang bersaiz besar ( 5 x 5 kaki dan 6x 8 kaki serta lebih) umpama ‘bonus’ kalau ia dapat dijual. Lazimnya, saiz lukisan sederhana ( 3 x 3 kaki, 3 x 4 kaki dan 4 x 4 kaki) yang menjadi pilihan. Saiz 2 x 3 kaki dikategorikan lukisan kecil dan pelukis baharu tidak mampu menghasilkan lukisan saiz  besar.

Harris turut mempelbagaikan karyanya. Beliau kini berjinak-jinak dengan kerja-kerja membuat arca Fat Lady dengan bahan kayu keras dan berkualiti seperti cengal, merbau, nireh batu, gemunggal serta kayu berlian.

Kenapa beralih hendak membuat arca? “Seseorang pelukis kalau subjeknya dibuat sehingga peringkat arca atau sculpture, itu adalah pencapaiannya yang tertinggi. Kalau dalam akademik – PHD. Lagipun, (arca) sangat mahal kalau dijual,” jawab Harris.

Semoga beliau terus sukses dengan karya terbaharunya – arca, sebagai menuju kemuncak kerjaya seninya.

Kini, sebahagian karya Harris digantung di rumah-rumah pembeli atau pengumpul karyanya di luar negara.  Yang lain dibeli oleh pejabat kedutaan, keluarga diraja, pelancong asing, syarikat korporat serta bank.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

42  −    =  38