Wanita ditipu RM15,000 diperdaya aplikasi pembayaran online

 Wanita ditipu RM15,000 diperdaya aplikasi pembayaran online

Ah Wa (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang, Johor Jaya, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 26 April – Seorang wanita tidak menyangka ditipu sebuah aplikasi pembayaran dalam talian berjumlah RM15,000 pada 27 Mac lalu.

Mangsa, Nang Ah Wa, 40, yang bekerja sebagai pembantu jualan memuat turun aplikasi itu daripada Facebook untuk kegunaannya membayar bil elektrik dan air secara dalam talian.

Beliau mendakwa, berdasarkan iklan aplikasi itu mampu memberi penjimatan bil elektrik dan air dengan pembayaran awal sebanyak RM10 sahaja menyebabkannya tertarik untuk mencuba.

“Selepas menghubungi pihak pengiklan, mereka mengirimkan satu ‘link’ melalui aplikasi WhatsApp dan meminta saya untuk memuat turun aplikasi berkenaan pada jam 7 malam.

“Saya membuat pembayaran dan tiga jam kemudian saya menerima notis pemberitahuan menerusi aplikasi itu berlaku satu pembayaran.

“Apabila memeriksa duit dalam akaun bank saya mendapati duit RM10,000 telah hilang, beberapa minit kemudian RM5,000 pula hilang,” katanya dalam sidang media di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.

Ketika wang simpanannya RM10,000 hilang, wanita itu menghubungi pihak bank bertanyakan kes itu, namun bank memaklumkan transaksi terbabit sah.

Wang berkenaan merupakan simpanannya hasil pemberian suami yang bekerja di Singapura.

Sementara itu, Timbalan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Bahagian Pasir Gudang, Ang Tun Chiek berkata, kes wanita terbabit adalah kes scam terbaharu menipu mangsa dengan menggunakan aplikasi dalam talian telefon bimbit.

“Kami telah melakukan penjejakan transaksi wang mangsa dan mendapati duit itu dipindahkan kepada sebuah syarikat.

“Apabila kami menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan butiran transaksi mereka tidak mahu membantu, saya harap polis boleh siasat,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1