Wanita didakwa buat tuntutan palsu RM16,800

 Wanita didakwa buat tuntutan palsu RM16,800

Norazah Abdul Aziz diiringi pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Feb — Seorang kakitangan Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini dengan 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,800 pada Januari 2015 hingga September 2016 lalu.

Tertuduh, Norazah Abdul Aziz, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan kesemua pertuduhan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Norazah didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Saguhati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid dan Surau berjumlah RM800 setiap bulan.

Tertuduh yang merupakan Pembantu Tadbir Pengkeranian/Operasi didakwa melakukan perbuatan itu selama 21 bulan pada Januari hingga Disember 2015 serta Januari hingga September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Norbaya Aman.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 berikutan Norazah mengalami masalah kewangan.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah pada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan bagi penyerahan dokumen.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

44  −    =  38