• Friday, 18 June 2021, 1:52 am

Wanita 45 tahun kematian rabies terbaharu di Sarawak

 Wanita 45 tahun kematian rabies terbaharu di Sarawak

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 24 Mei — Satu lagi kes kematian akibat jangkitan rabies di Sarawak direkodkan di daerah Selangau dekat Sibu yang terletak di bahagian tengah negeri ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Menurutnya, mangsa merupakan wanita berusia 45 tahun telah digigit oleh anjing peliharaannya pada tangan kiri semasa meleraikan pergaduhan antara anjing miliknya dengan anjing lain pada 9 Mac lepas.

“Kes telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama dan rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan janji temu susulan telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun telah tercicir daripada menjalani rawatan susulan dan setelah berjaya dikesan, wanita itu telah diberikan suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April.

“Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas pada bahagian tangan kiri semasa mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil daripada mangsa dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei. Dalam pada itu, keadaan pesakit semakin merosot dan kes telah meninggal dunia pada 7.13 pagi 6 Mei dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya.

Beliau berkata dengan kes kematian terbaharu itu telah menjadikan jumlah kematian akibat wabak rabies meningkat kepada 32 kes sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *