Wajarkah undi wajib diperkenalkan?

 Wajarkah undi wajib diperkenalkan?

ANTARA elemen utama dalam demokrasi adalah pilihan raya. Rakyat bukan hanya diberi hak, malah bertanggungjawab untuk memilih wakil bagi membawa hasrat dan inspirasi rakyat ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Perwakilan rakyat adalah amat penting terutama dalam proses pembikinan undang-undang dan polisi kerajaan yang akan melibatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat. Malaysia telah ‘meraikan’ proses pemilihan wakil rakyat sebanyak 14 kali semenjak 1959 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya dalam tahun 2023.

Perlembagaan Persekutuan menggariskan syarat-syarat bagi membolehkan rakyat negara ini didaftarkan sebagai pengundi. Sebelum ini, pengundi harus berusia 21 tahun untuk memohon menjadi untuk mendaftar sebagai pengundi, tetapi kini, dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan, had umur telah diturunkan kepada 18 dan pendaftaran dilakukan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini memberi kemudahan yang baik pengundi baru dan juga memberi suara yang lebih kepada pengundi-pengundi yang bakal memimpin negara di masa hadapan.

Baru-baru ini, seorang pemimpin parti politik mencadangkan agar setiap pengundi berdaftar diwajibkan untuk mengundi dan denda dikenakan terhadap pengundi yang gagal untuk keluar mengundi. Undang-undang untuk mewajibkan mengundi bukanlah perkara baharu kerana 21 negara termasuk Singapura, Thailand dan Australia mewajibkan pengundi berdaftar di negara tersebut untuk keluar mengundi. Mengikut prinsip demokrasi, seseorang wakil rakyat harus mendapat undi terbanyak bagi melambangkan beliau mewakili suara terbesar dalam masyarakat yang beliau wakili. Perwakilan adalah suatu perkara yang mustahak di dalam pilihan raya demokratik.

Dengan adanya pendaftaran pengundi secara automatik, undi wajib akan memastikan keseluruhan pengundi akan menjalankan tanggungwab mereka untuk mengundi dan keputusan pilihan raya adalah keputusan seluruh rakyat yang tidak perlu dipertikaikan.

Beberapa perkara asas mengenai pilihan raya perlu difikirkan sebelum Undi Wajib diperkenalkan di Malaysia. Dalam lima pilihan raya umum semenjak 1999 sehingga 2018, purata keluar mengundi adalah 76.44%. Ini menunjukkan minat untuk keluar mengundi adalah tinggi walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pengundi untuk mengundi. Australia dan Singapura, yang menwajibkan rakyat untuk mengundi juga gagal untuk mendapat 100% pengundian. Denda yang dikenakan ke atas pengundi yang tidak mengundi juga gagal untuk memastikan pengundi yang penuh. Dari data yang ditunjukkan, undang-undang tidak dapat memastikan semua pengundi akan keluar mengundi dan rakyat Malaysia menjalankan hak mereka untuk mengundi tanpa dipaksa oleh undang-undang.

Bagi membolehkan semua pengundi untuk keluar mengundi, SPR perlu memastikan bahawa kemudahan untuk mengundi dapat dirasai oleh kesemua pengundi. Pengundi terutama di kawasan luar bandar dan pendalaman tidak boleh dibebankan dengan perjalanan yang jauh untuk ke pusat mengundi. Kemudahan-kemudahan alternatif seperti peti undi atau pusat mengundi bergerak harus disediakan bagi kemudahan rakyat.

Pengundi tidak harus didenda sekiranya kemudahan untuk mengundi tidak disediakan. Sekiranya peti undi atau pusat mengundi bergerak diperkenalkan, isu integriti perjalanan pilihan raya juga harus dipastikan kerana penerimaan keputusan pilihan raya adalah bergantung kepada kredibiliti perjalanan pilihan raya.

Di sistem pilihan raya di Malaysia ketika ini, pengundi akan mengundi di kawasan di mana  mereka didaftarkan. Undi awal dan undi melalui pos hanya dibenarkan kepada sembilan kategori pengundi seperti anggota pasukan keselamatan dan perkhidmatan kritikal seperti bomba, perubatan dan pengamal media. Namun masih ramai lagi pengundi yang tidak dikategorikan sebagai ‘pengundi tidak hadir’ seperti kakitangan industri penerbangan, pekerja di sektor perkapalan, petugas di syarikat carigali di luar pesisir. Pengundi-pengundi ini tidak diberi kemudahan untuk mengundi walaupun secara logiknya adalah amat sukar bagi mereka untuk hadir di pusat-pusat mengundi kerana tuntutan tugas masing-masing. Oleh itu adalah tidak wajar mereka dipersalahkan sekiranya mereka gagal untuk mengundi.

Sistem pilihan raya Malaysia yang terbuka iaitu tarikh pilihan raya tidak ditetapkan tetapi sebaliknya bergantung kepada pembubaran Dewan Rakyat atau DUN yang jangka hayatnya tidak lebih dari lima tahun. Pembubaran Dewan akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di atas nasihat Perdana Menteri. Ini jelas menunjukkan bahawa hanya Perdana Menteri yang mengetahui bilakah Dewan akan dibubarkan. Sistem ini juga menimbulkan cabaran yang besar pihak pengurusan pilihan raya dan pengundi sendiri bagi bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Pengundi terutama yang tinggal di luar kawasan mengundi, perlu merancang untuk pulang mengundi di tempat masing-masing. Adalah tidak adil sekiranya mereka didenda kerana gagal untuk mengundi kerana tidak dibenarkan mengundi secara pos dan tarikh pengundian tidak dimaklumkan terlebih awal bagi memudahkan mereka untuk mengundi.

Mengundi adalah hak dan rakyat harus diberi peluang untuk memutuskan sama ada mereka ingin melaksanakan hak tersebut ataupun tidak tanpa sebarang paksaan.  Pengundi harus diberi kesedaran terhadap kepentingan mengundi melalui pendidikan pengundi dan demokrasi. Paksaan tidak harus berlaku di dalam demokrasi. Rakyat harus digalakkan untuk menyertai pilihan raya dan menjadi penentu kepada pemerintahan negara.

Semenjak akhir-akhir ini, kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan pemerintahan negara berada di tahap yang rendah.  Penukaran parti memerintah dan dua perdana menteri tanpa pilihan raya menjadikan seolah-olah undi yang diberikan oleh rakyat dalam pada PRU14 tidak ada nilai.  Ahli-ahli politik Malaysia harus memberi tumpuan terhadap usaha-usaha kesedaran bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pemerintahan yang berlandaskan kepada perlembagaan.

Untuk mewajib semua rakyat mendapat pendidikan, kita harus pastikan sekolah telah siap dibina, kerusi dan meja siap di dalam bilik darjah, buku-buku tersedia di atas meja, guru-guru terlatih bersedia untuk mengajar, bekalan letrik dan air tersedia. Sekiranya segalanya tersedia dan rakyat bersedia baru orang yang tidak ke sekolah boleh didenda. Begitu juga dengan pilihan raya.

 

Amerul Muner Mohammad merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

 

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *