WacanaSHARE+[VIDEO]Dapat udang galah, terus masak dalam bot

 WacanaSHARE+[VIDEO]Dapat udang galah, terus masak dalam bot

Oleh Mohd Kamal Ahmad

MACHANG, 31 Mac – Mencuba sesuatu yang baru pasti menarik dan mengujakan. Begitu juga kalau pergi memancing udang galah, dan kemudian hasil tangkapan terus dimasak di dalam bot, demikian minat baru seorang kaki pancing tegar, Hasli Mat Seman, di sini.

Beliau adalah admin Kelab Pemancing Udang Galah Malaysia (KPUGM), yang mempunyai lebih 65,000 ahli dari Semenanjung, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. Selama berkecimpung dengan hobi memancing udang galah lebih 20 tahun, Hasli kini ‘menceburi’ hobi baru iaitu memasak di atas bot.

Kenapa sekarang lebih suka memasak dalam bot?

“Jawabnya, disebabkan usia yang semakin meningkat, saya lebih seronok untuk menjadikan gambar dan video saya ini satu kenangan terindah dalam hidup saya.

“Suatu hari nanti, saya pasti akan berundur dari dunia memancing udang kerana faktor usia. Itu akan membataskan pergerakan saya. Maklumlah tenaga tidak sehebat masa umur muda. Masa itulah saya akan melihat semula gambar-gambar dan video lama bersama rakan pancing,” katanya sambil menyifatkan hobi barunya itu sebagai satu perkara yang melengkapkan lagi nikmat memancing.

Hasli setakat ini telah menghasilkan 10 video yang menampilkan penyediaan sajian ringkas di dalam bot atas nama Hasley Klatey HK Channel dalam Youtube.

“Antara masakan saya ialah mee bandung Muar, mee goreng, udang bakar sos Danok, udang rebus dan udang masak lemak. Mungkin selepas ini, saya akan memasak menu yang berlainan,” katanya yang berasal dari Kampung Temangan di sini.

Mengenai memancing udang galah, Hasli ada pengalaman yang boleh dikongsi oleh pemancing lain. Contoh, jumlah joran yang dibawa bergantung kepada lokasi pancing. Jika memancing di Teluk Intan, Perak yang sungainya ada dua arus pasang surut, seelok-eloknya guna lima joran seorang kerana udang banyak di situ.

“Lima joran juga mudah dikawal. Kalau memancing di sungai yang arusnya biasa, saya selalunya guna lapan joran kerana udang tidak sebanyak di sungai yang ada dua arus,” katanya.

Beliau turut kongsikan lima tips terbaik untuk memancing udang iaitu, niat turun memancing untuk mencari rezeki kerana ada juga yang turun memancing kerana mengisi masa lapang. Pastinya niat mencari rezeki dengan memohon dari Allah SWT untuk mendapatkan rezeki perkara utama pasti didahulukan.

Kedua, sediakan kelengkapan yang lengkap dan rapi jaket keselamatan sebagai persiapan menghadapi kejadian tidak diingini kerana kepulangan yang selamat dinantikan keluarga di rumah.

“Jangan malu bertanya pada org yang lebih mahir selain gunakan peralatan yang betul dan sesuai dengan sasaran kerana setiap sungai pastinya berbeza gaya dan cara hidup udang galah.

“Dan yang akhir, sentiasa mengucapkan syukur apabila beroleh rezeki kerana semahir mana pun seseorang pemancing pasti Allah SWT yang memberi rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai tanggapan orang ramai bahawa di mana ada udang galah pastinya ada sang buaya, Hasli berkata, berdasarkan pengalaman cuma ada satu persamaan iaitu  kedua-duanya mendiami habitat yang sama di dasar sungai.

“Ada juga mengatakan apabila ke sungai jangan sesekali bercakap besar atau mulut celupar bagi mengelakkan diri dari diganggu buaya. Tetapi yang pasti, berdoa kepada Allah supaya kita sentiasa dijauhkan dari segala musibah dan dapat pulang dengan selamat,” katanya.

Pada masa sama, semua umpan adalah terbaik untuk memancing udang galah kerana spesies itu akan makan termasuk udang beras, cacing, ikan gapi, anak ikan haruan, jantung ayam, hirisan sotong dan banyak lagi.

“Tetapi, yang paling mudah ialah udang beras yang boleh disauk sendiri di sawah padi atau kolam ikan,” katanya.

Udang galah bermusim?

“Sebenarnya udang galah tidak bermusim seperti musim buah-buahan kerana udang boleh dipancing sepanjang tahun cuma bergantung kepada tahap kemahiran seseorang pemancing itu sendiri mengesan kedudukan udang yang sentiasa berpindah randah,” katanya.

Berdasarkan pengalaman setelah hampir 20 tahun memancing udang, rezeki dan kemahiran Hasli semakin bertambah baik kerana sentiasa mencari rujukan terutama rakan pemancing bagi menambahbaik maklumat dan ilmu baharu dalam menjejak udang galah.

“Ada juga masa-masa tertentu hasil dikatakan kurang atau merosot. Biasanya, ini tidak lain disebabkan kita gagal mengesan dan menjiwai rentak pemancingan pada hari tersebut,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  2  =