#WAAW Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara – Kumpulan Here Comes July

 #WAAW Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara – Kumpulan Here Comes July

PETALING JAYA : Kumpulan Here Comes July (HCJ) tampil dengan single baru berjudul Suara Malaysia sempena Hari Merdeka untuk menyemarakkan semangat patriotisme.

HCJ yang dianggotai oleh Wan Lukman selaku vokalis, Arfan Zainuddin sebagai gitar utama, Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass) dan Irfan Ismail (dram) menyifatkan Suara Malaysia memberi erti besar buat mereka.

Lagu ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden Kin ini sarat dengan mesej penting mengenai cinta terhadap Malaysia. Malah, HCJ mengakui alunan lagu ini memberi semangat luar biasa kepada pendengar.

“Bagi kami, Malaysia adalah segalanya buat HCJ. Kami faham, kadangkala, Malaysia ada kekurangannya. Namun kekurangan itulah yang menjadi titik semangat perubahan untuk kita menjadikan Malaysia lebih baik.

“Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara. Tanpa Malaysia, kita tak dapat menikmati keselesaan hidup harmoni dalam masyarakat. Tanpa Malaysia, kita tak mampu berjaya. Inilah maksud sebenar patriotisme bagi HCJ dalam lagu Suara Malaysia.

“Aspek paling utama yang kami minati adalah melodi dan liriknya. Melodi yang moden namun tetap disuntik unsur tradisional menunjukkan kita sebagai sebuah negara, tidak perlu rasa bersalah untuk berkembang ke arah pemodenan atau dalam muzik sekalipun.

“Jangan kita lupa akan asal usul kita yang penuh kesenian, kesopanan, dan kreativiti yang seharusnya ditonjolkan di mata dunia. Pilihan perkataan liriknya pula bertujuan memberi semangat kenegaraan dan memastikan rasa cinta kepada negara tidak luntur,” kata Lukman.

Mereka percaya, nilai patriotisme secara semulajadi sudah terhasil dalam diri setiap rakyat. Namun, dengan adanya kebebasan media sosial hari ini, kadang kala masyarakat terpengaruh dengan anasir buruk.

“Mesej utama dari kami yang kami ingin terapkan adalah satu peringatan. Cinta pada negara tidak harus dipaksa. Ia seharusnya datang secara semulajadi dan dengan cara ini sajalah cinta itu akan sentiasa berkekalan.

“Tanpa Malaysia, kita tak mampu bersuara. Tanpa Malaysia, kita tak dapat menikmati keselesaan hidup harmoni dalam masyarakat. Tanpa Malaysia, kita tak mampu berjaya. Inilah maksud sebenar patriotisme bagi HCJ dalam lagu Suara Malaysia,” katanya.

Kongsi HCJ, lagu itu bukan dihasilkan hanya kerana sambutan kemerdekaan akan menjelang. Sebaliknya, mereka berharap lagu itu bakal mencipta impaknya sendiri dan menjadi siulan serta semboyan peniup semangat rakyat Malaysia terus bersatu-padu.

“Lagu ini kami tujukan buat semua rakyat Malaysia yang perlu kita hayati, bukan sahaja pada hari kemerdekaan, tetapi jadikan lagu ini sebagai peringatan, mengenai semangat dan keindahan negara kita.

Terdahulu, mereka juga tampil dengan lagu Juwita yang menjadi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis sehingga meraih perhatian lebih ramai pencinta muzik tempatan. Awal tahun ini, HCJ juga turut melancarkan lagu berjudul Sembunyi.

HCJ mula aktif sejak 2013 dan pernah membuat persembahan di Rantai Art Festival, Naib Johan Music’s Friends from Far Away Places, Unity Festival Malaysia, Push to Play Vol. 28, Merdekaraya Open Mic, LiveInIntun, Euphonious 2018, dan Cyber Fest.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

25  +    =  34