• Friday, 18 June 2021, 1:28 am

#WAAW: Tamat tugas, Pasha kembali bersama Ungu

 #WAAW: Tamat tugas, Pasha kembali bersama Ungu

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Menamatkan tugas sebagai Timbalan Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah pada Februari lalu, Pasha kembali menyemarakkan industri seni Indonesia bersama kumpulan Ungu.

Selepas hampir lima tahun terbabit dalam politik, Pasha setia dengan kumpulan Ungu yang cukup terkenal menerusi lagu Demi Waktu, Tercipta Untukku dan Andai Ku Tahu itu.

Terbaru, Ungu tampil dengan buah tangan terbaru bersama penyanyi dangdut popular, Lesti Kejora berjudul Bismillah Cinta yang menerima tontonan luar biasa di YouTube dengan meraih 33 juta tontonan dalam tempoh kurang dua bulan.

“Saya ingin memberitahu bahawa sudah kembali sepenuhnya dengan Ungu. Syukur, syarikat rakaman kami bersetuju untuk mengeluarkan sebuah album baharu dan Bismillah Cinta menjadi single pertama.

“Memang sudah lama saya tidak menyanyi dan kini kembali dengan single Bismillah Cinta pada Ramadan lalu. Kehadiran lagu itu adalah pada waktunya.

“Ini kerana mesej dalam lagu terbabit bercerita mengenai kebahagiaan umat Islam pada bulan Ramadan, pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara dan cinta jarak jauh,” katanya.

Menurut Pasha, Bismillah Cinta adalah single pertama yang akan dimuatkan dalam album baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Walaupun sudah 25 tahun terbabit dalam muzik, namun kumpulan yang dianggotai Pasha (penyanyi), Makki (bass), Enda (gitar), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) itu masih mendapat tempat di hati peminat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *