#WAAW: Search teruskan perjuangan tanpa Amy dan Nasir

 #WAAW: Search teruskan perjuangan tanpa Amy dan Nasir

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan rock lagenda, Search, pada Mac lalu tidak mematahkan semangat band itu untuk meneruskan perjuangan dunia seni.

Selain Amy, Nasir juga terpaksa menarik diri daripada persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 yang bakal berlangsung pada 10 April ini di Waronk Avenue, Melaka bagi memberikan fokus kepada perniagaannya.

Din yang mewakili Search berkata, dia berharap peminat akan terus menerima kehadiran dan memberikan sokongan pada setiap persembahan membabitkan Search selepas ini.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya, oleh itu, saya ingin pengakhiran yang baik buat Search. Jadi, walaupun tanpa abang Amy, kami ingin terus mengerakkan Search kerana sayang akan band ini.

“Kemana saja kami pergi pasti orang bertanya mengenai Search. Sedikit sebanyak Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini sebagai membalas rindu peminat. Persembahan kali ini penting kerana berperanan sebagai permulaan buat kami.

“Bagi saya, Abang Amy tiada ganti. Cuma, saya perlu ‘move on’ untuk meneruskan legasi Search. Harapan saya, peminat dapat menerima Search tanpa Nasir dan Abang Amy,” kata Kid.

Penganjur konsert, Abdul Rasyid Rahman atau Acid, berharap kelancaran konsert biarpun dirancang dalam tempoh yang singkat.

Malah, persetujuan Akim untuk terlibat selaku vokalis membuat persembahan bersama Search turut membangkitkan keterujaan.

“Idea untuk membuat persembahan ini tercetus selepas menonton sesi temu bual bersama Din dan Kid, jadi saya yakin Search masih mempunyai aura tersendiri.

“Malah, lokasi yang dipilih juga tepat kerana menjadi tempat pemuzik dan karyawan mengekspresikan karya mereka,” kata Acid.

Lokasi persembahan itu boleh memuatkan 100 orang penonton berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ‘meet & greet’ pada 10 April, bermula pada jam 5.30 petang.

Rockology Malaysian Tour 2021 bakal diteruskan di beberapa lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur (Jun), Perak (Julai), Penang (Ogos), Johor Bharu (September) dan lokasi-lokasi lain.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  4  =  5