• Monday, 21 June 2021, 2:49 am

#WAAW: Salammusik kupas isu perebutan kuasa dan peperangan

 #WAAW: Salammusik kupas isu perebutan kuasa dan peperangan

Kumpulan Salammusik

PETALING JAYA : Kumpulan Reggae, Salammusik meluahkan rasa dalam single baharu berjudul Kuasa yang berkisar mengenai isu pangkat dan peperangan yang bersifat universal.

Tertarik dengan krisis Palestin-Israel yang kian memuncak, Atjap mewakili Salammusik menjelaskan lagu berkenaan sudah lama berada dalam simpanan namun menunggu waktu yang sesuai untuk dilancarkan.

“Single Kuasa sudah lama siap tetapi menanti waktu sesuai untuk diperkenalkan kepada peminat. Konflik seperti itu sudah lama terjadi, jadi Salammusik fikir ia perlu disuarakan.

“Biasanya tempoh untuk menghasilkan sesebuah lagu tidak menentu dan bergantung kepada keadaan. Kami tidak mahu menyiapkan sesebuah lagu dalam keadaan tertekan,” ujar Atjap.

Bukan sekadar menghasilkan lagu untuk hiburan semata-mata, Salammusik yang ditubuhkan sejak 2006 mahu menghasilkan muzik yang dapat memberi kesedaran sosial dan mudah diterima peminat.

Salammusik yang pernah memenangi trofi Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 menerusi album berjudul Salam Musik, akui Atjap, mahu menghasilkan banyak lagu dalam setahun.

“Memang kami mempunyai sasaran untuk menghasilkan banyak lagu. Tapi kalau boleh biarlah lagu itu berkualiti dan bermanfaat untuk masyarakat.

“Kami memang bekerja keras dan akan buat sehingga kami rasa puas hati.

“Salammusik bernasib baik kerana kami bergerak sendiri. Jadi kami boleh tentukan bila sesebuah lagu itu benar-benar sedia untuk dilancarkan,” katanya.

Salammusik dianggotai Ashraaf Salam A Azlan, Dyana Shamsuddin, Yaya Naqia, Ahmad Bulya Abdillah, Hibri Arsad, Mohd Irhas, Jazmi Jamaluddin, Aabid Aafiat, Kristopher Chong dan Kevin Teng.

Farhana Abd Rahman

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *