#WAAW: Rotan Chippers merungkai harapan dengan ‘Mekar’

 #WAAW: Rotan Chippers merungkai harapan dengan ‘Mekar’

Dari kiri Mikhail Haris (bekas pemain bass), Amirul Aliif (pemain dram), Danial Abrar (gitaris) dan Afiq Afnan (vokalis).

Oleh Sharazade Zulkifli 

Jika anda peminat funk rock dan hard rock seperti Red Hot Chilli Peppers, Rage Against The Machine dan Incubus, kumpulan indie tempatan Rotan Chippers boleh memberi anda kepuasan baru.

Kumpulan dari Selangor ini yang menampilkan Afiq Afnan, 29, sebagai vokalis ditubuhkan pada 2018 hasil gabungan gitaris Danial Abrar, 25, dan pemain dram Amirul Aliif, 24 serta bekas pemain bass, Yasir Maulana.

Yasir terpaksa meninggalkan Rotan Chippers pada Februari 2020 kerana komitmen pribadi, namun penyertaan Afiq, hujung tahun lalu melengkapkan kumpulan itu.

Tiga sahabat ini menggalas misi untuk menghidupkan semula muzik rock dengan membuat ‘live’ show dengan konsisten di samping mencipta lagu dan menyampaikan mesej melalui karya mereka.

Keunikan Rotan Chippers terserlah melalui identiti sound yang dibawa dengan lirik bertema unik. Walaupun banyak dipengaruhi muzik barat, kumpulan ini mencipta kelainan dengan menggabungkan elemen muzik barat dengan lirik bahasa Melayu.

Sebagaimana lumrah dihadapi kumpulan atau band indie, Rotan Chippers mengharungi pelbagai cabaran dalam memperjuangkan karya dan minat bidang muzik mereka.

Selain masalah ahli kumpulan bertukar ganti, Rotan Chippers juga berdepan isu kewangan terhad untuk rakaman dan menghasilkan lagu selain sukar mendapatkan slot untuk persembahan di gig.

Menurut mereka, tanggapan ramai bahawa ‘lagu sekarang tak best macam dulu-dulu’ menyukarkan audien kini untuk memberi peluang kepada kumpulan tempatan baru berbakat, apatah lagi grup yang membawa genre unik seperti Rotan Chippers.

Namun, di sebalik masalah yang dihadapi, selepas awan mendung dan hujan berlalu, pastinya muncul pelangi yang membuatkan kesusahan itu ada juga manisnya.

“Bila dapat buat ‘live’ show dan penonton pun ikut menyanyi lagu yang kami persembahkan, timbul satu kepuasan sampai meremang bulu roma,” kata Danial ketika membuka kisah mereka yang selalu berangan mahu berkarya sebagai pemuzik.

Antara kenangan paling bermakna bagi Aliff pula adalah apabila ramai kawan-kawan yang datang meraikan show pertama mereka di Live Fact, KL.

Mengulas single terbaru ‘Mekar’, Rotan Chippers berkata lagu ini menceritakan isu yang pernah hangat menjadi perhatian di laman sosial iaitu; depresi.

“Semasa menulis lirik lagu itu, ilham datang dari sebuah lagu bertajuk Drown dari kumpulan Bring Me The Horizon. Lirik lagu ‘Mekar’ juga ditulis dengan tema anti-depresi iaitu; harapan. Harapan adalah satu perasaan yang tak semua orang boleh faham,” kata Afiq.
Bahagian awal yang melankolik dalam lagu ‘Mekar’ dikaitkan dengan peranan harapan dalam hidup seseorang.

“Baris lirik “tak ku berharap kau ada, tak juga ku ingin kau tiada” menggambarkan apabila seseorang yang sedang berharap, tak sanggup untuk meletakkan harapan yang tinggi dalam hidupnya, tapi pada masa yang sama, berat baginya melepaskan keinginan untuk berharap sepenuh hatinya,” jelas Afiq.

Melodi gitar merdu yang mengiringi intro hingga chorus lagu ‘Mekar’ pula dicipta oleh Danial dengan menggunakan teknik triad yang diinspirasikan oleh idolanya John Frusciante dari Red Hot Chilli Peppers.

Bridge dan outro lagu ini memang padu. Dengan mood yang lebih rancak, Aliff memberi penghormatan kepada lagu War Pigs dari Black Sabbath dengan rentak dram yang bersemangat.

Mengambil inspirasi dari lagu Drenched In Fear oleh kumpulan In Flames pula, Danial mengakhiri lagu ‘Mekar’ dengan riff yang memberi perasaan kemenangan berbanding bahagian awal lagu yang lebih bernada melankolik.

Perbezaan yang wujud di antara kedua bahagian dalam lagu ini menggambarkan dua aspek yang penting dalam kehidupan iaitu; harapan dan perjuangan.Rotan Chippers kini sedang dalam proses menyiapkan lagu baru untuk album baru mereka.

“Kami berharap agar pemuzik underground kita akan terus berkembang dan mencipta lebih banyak lagi karya yang berkualiti supaya orang ramai akan menjadi kurang skeptikal dengan potensi muzik indie di Malaysia.”

“Semoga stigma tentang ‘indie vs mainstream’ akan terkubur dan band indie yang telah berjaya ke pentas mainstream tidak dikecam, sebaliknya diraikan,” kata mereka.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  8  =