#WAAW: Pemilik, kenderaan merangkak dalam lumpur

 #WAAW: Pemilik, kenderaan merangkak dalam lumpur

Antara trek mencabar yang perlu direntasi oleh kenderaan kawalan jauh.

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Apa seronoknya bermain kenderaan mini kawalan jauh apatah lagi melibatkan aktiviti memunggah pasir serta merentas halangan ala-ala kembara 4 x 4 di hutan pada waktu malam?

Namun bagi sekumpulan ahli Kelab RC Crawler, mereka merasai kepuasan yang tersendiri apabila sama-sama beriadah untuk melakukan pelbagai aksi dan aktiviti bagi menguji kemahiran mengendalikan kenderaan mini masing-masing.

Apakah seronoknya bermain kenderaan berskala 1/10 ini?

“Satu kepuasan lain dari yang lain. Ini bukan hobi yang biasa dilihat dan tidak serupa dengan hobi yang lain,” kata Mohd Rafiz Abu Bakar, 46, yang turut menafikan hobi itu tidak kebudak-budakan.

Merentas laluan di atas tali, antara trek paling mencabar kemahiran ahli kelab.

Sebaliknya, hobi itu dapat memupuk sifat kekeluargaan dan perpaduan berkomuniti di mana aktiviti mereka kerap melibatkan pelbagai agensi, organisasi dan institusi Pendidikan.

Persatuan induk mempunyai ahli terdiri daripada mereka yang bermain jet, helikopter, kapal terbang, RC buggy car, RC bot dan RC crawler yang ditubuhkan pada 2013.

Untuk segmen RC crawler, Rafiz berkata, kumpulan itu mempunyai 60 orang ahli yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, amatur, kerani, penghantar surat dan suri rumah yang berusia antara 5 hingga 70 tahun.

Antara trek yang disediakan di kawasan aktiviti kelab.

Menurutnya, ahli kelab meraih pelbagai manfaat seperti dapat menimba ilmu dan kemahiran menerusi tunjuk ajar mereka yang senior selain menikmati potongan harga ketika membeli barang di kedai mainan kawalan jauh terpilih.

“Jika ada kerosakan pada kenderaan, dia boleh membaikinya sendiri atau dibantu rakan-rakan dan mekanik berpengalaman,” katanya.

Buat masa ini, penggiat RC helikopter, jet, drone dan kapal terbang beraktiviti di padang bola AU2 Taman Keramat manakala penggiat RC crawler serta RC truck bermain di kawasan tanah lapang di AU3 Taman Keramat. Namun ada ketikanya mereka bermain di luar kawasan seperti Rawang, Puchong, Shah Alam dan Sungai Pusu dekat Gombak atas jemputan kelab lain.

Menurut Rafiz, aktiviti yang dilakukan biasanya bergantung pada permintaan peserta tetapi biasanya sekali seminggu sekali tetapi ada ketikanya empat kali seminggu.

“Tambah pula pada musim hujan, bermain RC crawler amat menyeronokkan bila kita dan kenderaan sama sama masuk dalam lumpur,” katanya.

Halangan sukar yang perlu dilepasi sebuah kenderaan 4 x 4 kawalan jauh (gambar fail sebelum pandemik COVID-19).

Hobi ini boleh dianggap hobi mahal. Untuk memiliki sebuah kenderaan kawalan jauh, seorang penggiat perlu membelanjakan antara RM1,500 hingga RM5,000 bergantung kepada kos menaik taraf dengan memasang komponen dan aksesori. Malah ada unit kenderaan yang mencecah RM10,000 selepas ubah suai.

Setakat ini, kalangan ahli kelab ini memiliki sebuah kenderaan tetapi bagi kalangan yang tegar dan berduit, mereka mampu membeli sehingga lima unit atau lebih.

Seseorang penggiat hobi ini secara purata membelanjakan antara RM50 hingga RM1,000 atau lebih sebulan bergantung keperluan atau keutamaan.

Untuk yuran, ahli dikenakan RM20 untuk pendaftaran dan RM10 bagi yuran bulanan. Kutipan yuran itu kemudian digunakan untuk kerja-kerja penjagaan dan keceriaan trek manakala bakinya untuk tabungan kelab bagi membiayai penganjuran acara.

Sebahagian daripada ahli kelab bergambar selepas menamatkan aktiviti malam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =