#WAAW: Kurang yakin kerana badan kurus kering, Ismail Izzani ‘bina’ keyakinan diri

 #WAAW: Kurang yakin kerana badan kurus kering, Ismail Izzani ‘bina’ keyakinan diri

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING : Kurang keyakinan kerana susuk tubuh kurus melidi, Ismail Izzani terdorong untuk mengubah penampilan fizikalnya sehingga mencapai berat ideal.

Ismail atau lebih mesra dengan sapaan Mael itu, mengabaikan kesihatan mental dan fizikal kerana memberikan fokus terhadap kerjaya seninya.

“Beberapa tahun lalu ketika mula membina badan, saya memakai jersey ke pusat membeli belah dan terdengar suara mengatakan badan kelihatan besar kerana baju tersebut.

“Mungkin kedengaran remeh bagi sesetengah pihak, namun kata-kata begitu memberi impak dari aspek emosi. Keadaan fizikal saya menjadi ‘bahan’ dan dalam diam saya mula membina otot badan demi kepuasan diri.

“Daripada 53 kilogram, saya kini berjaya mencapai berat sehingga 70 kilogram. Saya mahu memberi fokus buat diri sendiri dengan berbasikal, bersenam dan membina badan,” katanya kepada Wacana.my

Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, 21, berkata, kini dia tidak lagi memilih baju lengan panjang sebagai alternatif sebaliknya lebih berani untuk bergaya.

Pelatun lagu Sabar itu berasa gembira apabila berjaya menjadikan gaya hidup sihat serta melakukan senaman untuk tubuh badannya sebagai rutin.

“Saya gunakan masa untuk diri sendiri ini dengan betul, tetapi dalam masa yang sama muzik sentiasa di hati saya. Saya percaya peminat yang setia akan terus penyokong perjalanan kerjaya saya.

“Perancangan saya untuk tampil dengan album baru selepas raya nanti. Dalam simpanan saya mempunyai 16 buah lagu namun memilih 10 untuk dimuatkan dalam album itu nanti,” kata Mael.

Album berkenaan bakal memuatkan lagu duet bersama Adzrin Ameruddin daripada program Big Stage, penyanyi seberang,Devano Danendra dan kekasih Mael sendiri iaitu Shalma Eliana.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  33  =  35