#WAAW: Janganlah doakan saya mati – Acong Sweetchild

 #WAAW: Janganlah doakan saya mati – Acong Sweetchild

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : “Lemah semangat rasanya apabila sering menerima kiriman mesej yang sama saja berkaitan vaksin. Namun, mujur saya kembali positif, tetapkan dalam kepala vaksin ni memang untuk kebaikan kita.

“Kalau diikutkan jika sudah ajal bila-bila pun mati. Semua orang apabila tiba masanya pasti akan pergi jua tidak kira apa puncanya. Kita semua memang tetap akan mati”.

Begitulah luah penyanyi, Acong Sweetchild, 48, dan isteri, Marya Zuraida Zahari, 40, apabila berkongsi foto sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama pada 21 April lalu namun memilih untuk memadamnya tidak lama selepas itu.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat berkata sepatutnya penerima vaksin diberikan kata-kata semangat dan galakan agar tidak bimbang atau membatalkan niat untuk menerima vaksin yang disahkan selamat, berkesan dan efektif untuk keseluruhan rakyat Malaysia dalam usaha mencegah pandemik Covid-19.

Acong meluahkan rasa kesal apabila mendapat pelbagai komen dan mesej keterlaluan daripada peminat, termasuk pada kalangan rakannya selepas dia memuat naik gambar dengan memaklumkan perkara itu.

Disebabkan itu, Acong mengambil pendekatan memadam hantaran itu kerana tidak mahu tertekan apabila dimomokkan dengan cerita yang tidak betul mengenai penerima vaksin sepertinya.

“Selepas memuat naik gambar itu, beberapa rakan menakut-nakutkan dengan menghantar pelbagai kenyataan atau cerita tidak enak berkaitan vaksin kepada saya melalui aplikasi WhatsApp.

“Sebab itu saya padam hantaran berkenaan. Saya tak mahu tertekan memikirkan risiko yang digembar-gemburkan pihak tertentu. Janganlah doakan saya mati,” katanya yang ditemui pada sidang media Starvendors Mega Raya Fest 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Acong yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza 2015 menjelaskan tidak tahu bagaimana namanya dan isteri sebagai penerima vaksin namun menyifatkan ia adalah rezeki yang tidak terduga.

Tambahnya, dia juga tidak menolak andaian namanya dipilih sebagai penerima vaksin lebih awal kerana faktor penyakit darah tinggi yang dihidapi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  83  =  92