• Monday, 21 June 2021, 3:22 am

#WAAW: Ibu terpaksa ‘ditidurkan’ kerana jangkitan pada paru-paru, Tasha mohon doa semua

 #WAAW: Ibu terpaksa ‘ditidurkan’ kerana jangkitan pada paru-paru, Tasha mohon doa semua

Tasha Mashahar

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Penyanyi Tasha Mashahar memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibunya, Herina Wong Abdullah yang disahkan positif virus COVID-19 dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Serdang, Selangor.

Percaya kepada kekuatan doa, Tasha berkongsi paru-paru ibunya mengalami jangkitan dan doktor ‘menidurkan’ ibunya untuk memberikan bantuan pernafasan sehingga keadaan tubuh kembali stabil.

Perkongsian dari Tasha Mashahar mohon doa dari semua buatnya

“Ibu adalah antara wanita kuat yang saya kenali. Dia adalah ‘fighter’ dan akan berjaya mengharungi dugaan ini. Saya merayu kepada pengikut di Instagram untuk sama-sama mendoakan kesembuhan ibu saya.

“Paru-paru ibu mempunyai jangkitan dan mengakibatkan kadar oksigen dalam badan kurang stabil. Jadi, doktor terpaksa menidurkan ibu dan memasukkan tiub pernafasan sehingga keadaanya semakin stabil.

“Sebenarnya saya langsung tidak menjangka keadaan menjadi begini kerana ibu kelihatan sihat ketika mula dimasukkan ke wad. Apa pun, kami sekeluarga yakin yang menyembuhkan itu Allah dan doa adalah senjata orang mukmin,” luah Tasha.

Kongsi Tasha lagi, bapanya, Mohd Mashahar yang turut disahkan positif kini menjalani kuarantin di rumah. Dia bersyukur kerana keadaan bapanya juga bertambah baik.

Berterima kasih kepada doa orang ramai dan sahabat handai, Tasha mengakui memerlukan motivasi untuk berhadapan dengan situasi begini.

“Sekali lagi terima kasih diucapkan kepada anda yang memberikan sokongan moral dan mendoakan kesejahteraan keluarga saya.

“Tiada kata yang dapat diucapkan selain menghargai sepenuh hati,” luah Tasha.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *