#WAAW: Hari Raya kini tidak lagi sama – Sissy Iman

 #WAAW: Hari Raya kini tidak lagi sama – Sissy Iman

Membesar bersama arwah nenek banyak meninggalkan kenangan buat Sissy – Gambar Instagram Sissy

Oleh Farhana Ab Rahman PETALING JAYA : Penyanyi Sissy Imann menjelaskan sukar menggambarkan perasaan bercampur-baur kerana dia dan keluarga meraikannya tanpa beberapa orang ahli keluarga tersayang.
Penyanyi lagu Mungkin Kamu berusia 25 tahun itu berkata, biarpun nenek dan atuknya menghembuskan nafas terakhir bukan pada tahun yang sama, namun memberi kesan buat mereka sekeluarga. “Keseronokan menyambut hari raya tidak lagi sama seperti ketika nenek masih ada. Selalunya malam menjelang hari raya, kami berkumpul beramai-ramai untuk menganyam ketupat dan menyediakan pelbagai juadah bersama-sama. “Semua itu kini hanya tinggal kenangan. Semangat menyambut raya juga bagaikan hilang, malah ketiadaan nenek dan atuk begitu dirasai. Mereka mempunyai kelebihan tersendiri yang mana, seorang hebat memasak pelbagai juadah, seorang lagi hebat mempunyai pelbagai kuih tradisional.
Perasaan beraya tahun ini bercampur baur buat Sissy – Sumber Instagram Sissy
“Saya membesar bersama nenek sehingga belasan tahun, pastinya impaknya begitu berbekas di hati. Tambahan pula perayaan Aidilfitri tahun ini begitu sederhana bagi membendung penularan wabak Covid-19,” kata Sissy. Sissy yang turut berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan itu, berharap masyarakat turut bekerjasama bagi membendung wabak ini. Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, bersyukur rezekinya sebagai anak seni semakin terbuka namun masih menjadikan bidang nyanyian sebagai keutamaan. “Saya tidak mahu orang ramai lupa saya sebagai penyanyi kerana tawaran lebih ke arah bidang pengacaraan. Malah, saya tidak mahu ada yang meletakkan harapan tinggi melihat saya mengacara. “Boleh mengacara namun tidaklah sehebat nama-nama besar dalam industri seni. Bonda saya turut menegaskan kebolehan saya sebagai pengacara sebelum menerima sebarang tawaran,” kata Sissy.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  3