• Sunday, 20 June 2021, 3:19 pm

#WAAW: Hairul Azreen bimbang reaksi penonton

 #WAAW: Hairul Azreen bimbang reaksi penonton

PETALING JAYA : Menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bagi filem Ada Hantu, Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 33, mengakui takut untuk menanti maklum balas dari penonton.

Selain keadaan negara yang sukar dijangka ketika ini, reaksi penonton terhadap karya arahannya itu turut membimbangkan dirinya. Hairul, bagaimanapun mengharapkan yang terbaik.

“Filem ini bermulanya dengan borak kosong bersama penerbit, Adrian Teh, untuk menghasilkan cerita seram tapi dia mengatakan dia sibuk, jadi dia menyuruh saya yang mengarahkan.

“Saya katakan saya boleh mengarah tapi saya memerlukan banyak tunjuk ajar. Jadi apabila buat filem ini banyak benda yang saya baharu nampak sebagai seorang pengarah.

“Jika saya sering mengambil peranan sebagai pelakon, kali ini berbeza kerana saya mengarah filem seram komedi pula. Sememangnya ia adalah pengalaman yang bagus buat saya,” katanya.

Tambah Hairul, apa yang menarik dengan filem pertamanya itu adalah apabila dia turut meletakkan elemen kejutan dan ia hanya boleh diketahui oleh sesiapa yang menonton.

“Ada elemen kejutan yang mana penonton kena tengok sendiri apa yang saya mahu sampaikan dan saya harap penyampaian saya itu sampai kepada penonton serta disukai ramai kerana filem seram yang saya sampaikan ini akan membuatkan orang berfikir di hujung ceritanya,” katanya.

Selain bertindak sebagai pengarah, Hairul turut berlakon di dalam Ada Hantu. Antara pelakon lain yang terbabit sama ialah Zahiril Adzim, Shiqin Kamal, Elvina Chua dan Nafiez Zaidi.

Filem itu boleh distrim menerusi platform Disney+ Hotstar yang dilancarkan mulai 1 Jun lalu.

Farhana Abd Rahman

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *