#WAAW: Hafiz Hamidun seru selebriti guna media sosial ke arah kebaikan

 #WAAW: Hafiz Hamidun seru selebriti guna media sosial ke arah kebaikan

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Penyanyi, Hafiz Hamidun memohon rakan selebriti untuk menggunakan platform media sosial untuk membantu golongan asnaf dan yang memerlukan.

Penyanyi dan komposer yang dikenali menerusi lagu ketuhanan itu berkata, rakan artis mempunyai kelebihan dan dapat memberikan impak positif menerusi medium media sosial ke arah kebaikan.

“Sekitar tahun lalu, saya terlibat dalam program agihan bekalan makanan sempena kedatangan bulan Ramadan. Saya bertemu dengan seorang ibu tunggal yang turut memelihara anak yang ramai.

“Saya begitu terkesan apabila juadah berbuka puasa yang dijamu kepada anak-anaknya adalah hidangan yang sama ketika berbuka. Bukan mahu salahkan kehidupan atau pandemik COVID19, tetapi apabila difikirkan kembali, masih ada keluarga yang sukar untuk meneruskan kehidupan.

“Justeru, sebagai artis, kita patut gunakan pengaruh dah platform yang kita ada untuk membantu mereka. Golongan ini juga yang menyokong kerjaya kita. Apa salahnya kita turun sama-sama membantu mereka,” katanya.

Hafiz ditemui pada majlis Raikan Ramadan Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis Raikan Ramadan – Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Hafiz, ramai antara kita yang tidak sedar bahawa golongan yang kurang berkemampuan, khususnya kelompok miskin bandar begitu ramai dan memerlukan sokongan baik dari segi material mahupun moral.

Bergelar duta bagi program Raikan Ramadan untuk tahun kedua, Hafiz berazam untuk terus berganding bahu bersama-sama Yayasan Maghfirah dalam usaha menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

“Tidak hanya golongan asnaf dan miskin bandar, kita di Yayasan Maghfirah juga membantu pelbagai lapisan masyarakat seperti anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan juga pesakit HIV,” katanya.

Pelakon Syatilla Melvin turut hadir untuk sama-sama membantu mengagihkan bekalan makanan.

Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu berkata, dia berasa berbesar hati dapat sama-sama membantu dan ingin terlibat dalam program seumpamanya pada masa akan datang.

Pada majlis tersebut, sebanyak 600 pek Ramadan yang mengandungi bekalan makanan telah diagihkan. Semenara itu, pihak Yayasan menyasarkan 5,000 kotak bakal diedarkan sepanjang bulan ke beberapa PPR lain.

Duit raya sebanyak RM50 juga turut disertakan dalam setiap pek Syawal. Ia termasuk 6,000 pek iftar yang juga telah diagihkan bermula 1 Ramadan lalu dengan sasaran 35,000 penerima manfaat.

Bagi yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan, boleh salurkan derma menerusi akaun Maybank Yayasan Maghrifah 562263552802.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  5