#WAAW Filem Masuk Jawi nostalgia zaman berkhatan

 #WAAW Filem Masuk Jawi nostalgia zaman berkhatan

PETALING JAYA : Penerbit filem Masuk Jawi, Wan Mahadzer Wan Abdullah menghela nafas lega akhirnya naskah tersebut berjaya diselesaikan mengikut jadual biarpun berdepan masalah kekangan bajet dan pelaksaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mahadzer, produksinya miliknya iaitu Wandet Film Production memperuntukkan sebanyak RM350,000 sebagai kos keseluruhan dan meletakkan harapan tinggi untuk melihat naskah ini dapat dipertontonkan kepada masyarakat.

“Masuk Jawi adalah projek sulung kami di bawah produksi ini. Walaupun pada awalnya berdepan dengan kekangan bajet, tetapi saya faham, dengan situasi sekarang kita tidak punya banyak pilihan.

Masuk Jawi mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak.

“Kami tetap berusaha untuk menyiapkan dan menghasilkan yang terbaik dengan segala kemampuan yang ada,”katanya.

Menurut Mahadzer, hasrat utamanya adalah untuk melihat filem genre kanak-kanak dapat terus dipaparkan kepada masyarakat memandangkan tidak banyak naskah genre ini menjadi pilihan penerbit atau pengarah untuk ditayangkan.

“Memang tidak banyak drama atau filem yang memaparkan kisah nostalgia yang cukup dekat dengan hati penonton dan filem ini pula saya terbitkan dengan mengangkat kisah kerenah kanak-kanak yang akan berkhatan.

“Idea ini timbul untuk mengembalikan nostalgia itu di mana, proses berkhatan ini akan dilalui oleh semua kanak-kanak terutamanya lelaki dengan pelbagai ragam dan saya rasa ia satu kisah yang menarik untuk dipaparkan.

Antara babak dalam filem Masuk Jawi

“Apatah lagi majlis dan cara berkhatan yang dipaparkan juga mengikut adat tradisi lama yang dikenali sebagai ‘Masuk Jawi’,” katanya.

Masuk Jawi mengisahkan ragam tiga sahabat iaitu Tat, Ery dan Shamim yang sudah empat kali melarikan diri daripada berkhatan.

Pelbagai helah yang telah dilakukan oleh tiga sekawan ini semata-mata untuk melarikan diri daripada berkhatan dengan pelbagai ragam sehingga menyebabkan huru hara dalam kalangan penduduk kampung.

Filem ini akan berada di pawagam rumah anda di saluran Astro First bermula hari ini. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =