Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
#WAAW: Faralyna Idris alami keguguran awal Ramadan

Oleh Farhana Ab Rahman
PETALING JAYA : Pelakon, Faralyna Idris,30, akur dengan ketentuan Yang Maha Esa apabila mengalami keguguran pada awal permulaan bulan ramadan.
Biarpun hanya seketika, Fara melahirkan rasa syukur dengan kehadiran bayi yang dianggap sangat istimewa buat dirinya sekeluarga.
“Terima kasih, Ya Allah. Telah kau gembirakan hati kami dengan kehadiran yang teristimewa ini. Telah kau pinjamkan dia sekejap pada keluarga kami. Empat bulan yang penuh makna.
“Kepada yang tahu bonda pregnant, terima kasih kerana sentiasa doakan untuk bonda. Sentiasa cakap yang baik-baik pada bonda. Salam Ramadhan buat semua.
“Ini detik permulaan menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadhan tahun ni untuk keluarga kami. Paling istimewa, bersama yang teristimewa, Muhammad Farid Muhammad Fikri,” luah Fara.

Rata-rata netizen serta rakan selebriti turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar Faralyna serta keluarganya kuat menghadapi dugaan itu.
Faralyna turut berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan keadaannya dan menganggap sambutan bulan Ramadan cukup bermakna bersama arwah anaknya yang diberi nama Muhammad Farid.
“Dari awal tahun, ramai tegur dan tanya mana bonda kerana jarang tidak ‘update’ akaun Instagram. Mana perginya Instagram Story bonda. Inilah sebabnya. Alhamdulillah diberi lagi rezeki untuk mengandung kali ketiga.

“Tiada rezeki bonda ayah untuk peluk cium dia, tapi rezeki kami merasa gembira dan teruja bila tahu, kami akan dapat baby boy!” kongsi Faralyna.
Faralyna mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Fikri Abdullah pada Disember 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Fira Anggun dan Fira Ayu.