#WAAW: Faizal Tahir kembali bersama Mirwana?

 #WAAW: Faizal Tahir kembali bersama Mirwana?

Faizal Tahir X Mirwana

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir kembali berkolaborasi bersama Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa Cintamu 2021 selepas 16 tahun meninggalkan kumpulan itu.

Faizal yang meninggalkan Mirwana pada tahun 2005 membangkitkan keterujaan warganet apabila mengumumkan ‘reunion’ itu di media sosial.

“Saya tahu ramai menantikan kolaborasi ini dan sering bertanya bila kami ingin bekerjasama semula. Perbincangan antara saya dan Mirwana sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu, cuma kami menantikan masa yang sesuai.

“Selepas setahun negara dilanda Covid-19, saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk kolaborasi ini kerana ramai yang menginginkan lagu yang membawa mesej ketuhanan.

“Saya tidak sekadar menghadkan karya ketuhanan secara khusus tetapi memastikan setiap lagu yang dihasilkan membawa mesej yang baik dan positif,” katanya kepada Wacana.my

Lagu Aku Tanpa Cintamu telah membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan penyanyi, Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.

Alunan melodi yang merdu sert bait-bait lirik yang menyentuh jiwa telah berjaya melonjakkan nama Mirwana sebagai kumpulan nasyid popular ketika itu.

Wakil daripada Mirwana, Hafiz berkata, ikatan ukhuwah yang terjalin diharap akan bertambah baik. Biarpun sudah lama meninggalkan kumpulan Mirwana, namun masih berhubung.

“Kami tidak ralat sebaliknya merasakan Faizal membuat keputusan yang tepat untuk meninggalkan Mirwana 16 tahun lalu. Ini kerana hala tuju muzik dan matlamat kami ketika itu berbeza, sekali gus kami berbangga dengan pencapaian solonya.

“Setelah beberapa tahun membuat perbincangan, kami merasakan tahun 2021 adalah masa yang sesuai untuk kolaborasi ini. Lebih menarik kerana industri juga ingin mengangkat industri nasyid ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Hafiz.

Selain Hafiz, kumpulan Mirwana turut dianggotai oleh Izzat, Akmal dan Along. Kerjasama ini turut dijayakan oleh ahli baharu Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram.

Aku Tanpa Cintamu adalah karya sepenuhnya Mujahid Abdul Wahab manakala susunan muzik versi 2021 digubah oleh Adib Hussin dan Faizal sendiri.

Lagu ini diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar rasmi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  1