#WAAW: Faizal Tahir beri bayangan nak bersara dari industri hiburan?

 #WAAW: Faizal Tahir beri bayangan nak bersara dari industri hiburan?

Faizal Tahir

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Penyanyi, Faizal Tahir, 43, mengumumkan untuk berehat seketika daripada dunia hiburan bagi memberi tumpuan terhadap keluarganya.

Faizal berkata, selain minda dan fizikalnya yang ‘penat’ berkarya, timbul juga rasa bersalah kerana ‘mengabaikan’ keluarga demi kerjaya seninya yang berterusan sejak 2015.

“Semestinya keluarga ada menyuarakan keinginan untuk meluangkan lebih masa bersama, itu yang membuatkan saya ralat dan membuatkan keputusan untuk tarik ‘handbrake’ seketika.

“Bila tiba masanya, pasti saya kembali aktif semula. Bukan apa, saya tidak mahu sebarang kenyataan memakan diri pada masa akan datang. Kata orang, rezeki jangan ditolak.

“Cuma saya sendiri rasa bersalah kerana mengejar cita-cita dan mementingkan kerjaya. Saya cuba juga membantu isteri melakukan kerja rumah dan memantau kerja sekolah anak-anak, cuma memasak saja isteri lebih mahir di dapur,” kata Faizal.

Faizal Tahir ditermui ketika Majlis Pelancaran Projek Qibla Isnin lalu

Faizal mengulas mengenai pengumumannya untuk ‘berehat’ daripada bidang nyanyian ketika ditemui di majlis pelancaran projek Qibla kerjasama Faithful Music dan Universal Music Malaysia.

Penyanyi itu terlebih dahulu mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada para peminat yang telah menyokong dirinya selama ini.

“Perkara yang saya paling yang saya tidak sangka apabila dapat menubuhkan Faithful Publishing yang berperanan sebagai mentor daripada aspek penulisan lagu dan sebagainya.

“Saya tidak rasa dapat melepaskan industri muzik secara keseluruhan kerana ia adalah jiwa saya. Saya menubuhkan Faithful Publishing kerana ingin menyediakan satu payung untuk berkongsi pengalaman dalam bidang penulisan lagu,” kata Faizal.

Sempena bulan Ramadan dan juga sebagai ‘hadiah terakhir’, syarikat rakaman Faizal melancarkan sebuah box set beserta koleksi audio berjudul Qibla.

Selain tiga buah lagu yang berjudul Aku Tanpa Cintamu 2021, Syahadah dan rakaman semula Ceria Aidilfitri, Qibla turut memuatkan 10 klip audio tadabbur yang dibaca sendiri oleh Faizal.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  85  =  88