• Sunday, 20 June 2021, 2:48 pm

#WAAW: Elly Mazlein rahsia jantina kandungan ?

 #WAAW: Elly Mazlein rahsia jantina kandungan ?

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, 41, memilih untuk merahsiakan jantina bayinya meskipun usia kandungannya sudah memasuki lima bulan.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Usah Disimpan Bara Yang Tersimpan itu menjelaskan, akan berkongsi kepada umum apabila tiba masa yang sesuai.

Elly Mazlein bersama suaminya ketika raya lalu.

“Alhamdulillah sekarang ini kandungan saya sudah mahu masuk lima bulan, tapi jantinanya rahsialah. Saya dan suami sudah tahu tapi bagi saya sedikit masa lagi.

“Saya akan beritahu nanti, cuma saya mohon doakanlah semuanya akan berjalan lancar dan selamat. Kerana apabila mengandung pada usia 40-an ini agak berisiko, jadi saya sudah buat pemeriksaan dan imbasan.

“Alhamdulillah anak saya sihat daripada segala penyakit dan saya juga sihat, tanpa sebarang penyakit di sepanjang saya mengandung. Kencing manis, darah tinggi dan sebagainya semua tiada. Syukur sangat,” katanya.

Kata selebriti yang mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom itu, dia juga masih belum membuat persediaan bagi menyambut kehadiran anaknya itu.

Gambar keluarga Elly Mazlein.

“Setakat ini saya belum siapkan apa-apa lagi, bila kandungan sudah masuk lebih kurang tujuh bulan, barulah saya akan siapkan sikit-sikit.

“Ini kerana jadual saya sendiri padat dan akan terus bekerja sehingga kandungan saya berusia lapan bulan, iaitu sehingga September,kemudian barulah saya berehat.

“Sebelum ‘lockdown’ pun saya sibuk menjayakan penggambaran rakaman di dalam studio. Syukur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini penggambaran banyak dijalankan di dalam studio.

“Sepatutnya saya akan sambung menjayakan drama bersiri tapi disebabkan ‘lockdown’ sudah dilaksanakan, secara tak langsung penggambaran drama itu ditunda,” ujarnya.

Farhana Abd Rahman

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *