#WAAW: Nina kongsi duka lima tahun jauh dari restu keluarga

 #WAAW: Nina kongsi duka lima tahun jauh dari restu keluarga

Fazurina ditemui di majlis sidang media pelancaran program Ramadan TV AlHijrah.

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Pelakon drama Dunia Anita, Siti Fazurina Mohd Famir, 38, mengakui berkat dan restu ibu bapa memainkan peranan penting dalam sesuatu rumah tangga.

Pelakon wanita yang lebih mesra dengan sapaan Nina itu berkata, pengalaman hidup banyak mengajar dirinya untuk mengutamakan keluarga dalam segenap aspek kehidupan.

“Seperti semua sedia maklum, hubungan saya dan keluarga menjadi keruh apabila mereka tidak merestui perkahwinan bersama suami. Bukan sehari dua, tetapi lima tahun juga hidup saya kosong apabila berjauhan daripada mereka.

“Biarpun keluarga mentua baik dan melayan saya sepenuh hati, namun kekosongan itu tetap dirasai kerana ibu bapa tidak merestui rumah tangga yang dibina.

“Alhamdulillah…tawaran kerja juga semakin terbuka selepas hubungan dengan ibu bapa pulih seperti sedia kala. Malah, saya dan suami ketika ini tinggal bersama keluarga,” kata Nina kepada Wacana.my

Nina ditemui di majlis sidang media pelancaran program Ramadan TV AlHijrah yang bertempat di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, pada Rabu petang.

TV AlHijrah telah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi ruang rohani penonton Ramadan dan Syawal akan datang. Kesemua program ini telah disusun rapi dan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya.

Kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai ini Syawal Terakhir didokong tiga inisiatif utama stesen.

Perkahwinan Nina dan Hykal masih belum dikurniakan rezeki anak.

Mengulas mengenai soal cahaya mata, Nina dan suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 39, menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki dan tidak mahu meletakkan tekanan pada diri sendiri.

“Tipulah jika tidak tertekan jika sering ditanya mengenai soal cahaya mata, namun saya dan suami memilih untuk tidak terlalu memikirkan perihal itu. Apa pun, rezeki datang daripada Allah.

“Saya sendiri pernah dua kali keguguran sebelum ini, malah doktor juga mengesahkan saya tidak mempunyai masalah kesihatan. Kehidupan saya dan suami kini diserikan dengan kehadiran anak-anak saudara,” kata Nina.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012 berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  7  =  11