#WAAW: Cik B kongsi detik kebakaran yang meragut nyawa dua abangnya

 #WAAW: Cik B kongsi detik kebakaran yang meragut nyawa dua abangnya

Oleh Farhana Ab Rahman

PETALING JAYA : Kehilangan dua orang abang serentak masih segar dalam ingatan, Cik B dalam insiden kebakaran di Ipoh, Perak yang berlaku 9 tahun lalu.

Mengimbau kenangan pahit itu, Cik B atau nama penuhnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 16, berkata, arwah abangnya itu memakai pakaian baru yang dibeli sempena hari raya Aidilfitri.

“Mereka kelihatan teruja menggayakan pakaian baru dan jam yang dibeli untuk dipakai ketika raya. Memang kedengaran pelik, cuma saya tidak rasa janggal ketika itu.

“Malah, mereka turut menyikat rambut kemas-kemas beberapa hari sebelum kejadian. Memang kacak sungguh, kami bergelak ketawa bersama. Kami memang rapat, apatah lagi saya saja anak perempuan dalam keluarga,” kata Cik B.

Cik B bercerita tragedi yang meragut dua abangnya, Allahyarham Muhammad Eddie Zuhdie dan Allahyarham Muhammad Edrie Zikrie ketika berada di rumah yang didiami pekerja ibu mereka.

Lebih menyayat hati, kedua mereka meninggal dunia kerana lemas dalam asap tebal sambil dipeluk oleh pekerja ibu mereka yang turut terkorban.

“Saya bermain di luar rumah pekerja sambil ditemani Kacak (adik) dan saya terlihat asap tebal mula memenuhi kawasan itu. Saya terus berlari untuk meminta bantuan daripada pengawal keselamatan dan memaklumkan mengenai insiden itu.

“Pekerja-pekerja mama melompat keluar dari tingkat atas, ada yang menggunakan tilam sebagai lapik namun ada juga yang patah kaki akibat kejadian itu. Pihak bomba menemui jasad kedua-dua abang saya di dalam tandas sambil berpelukan.

“Saya bercerita sambil berjenaka kerana tidak mahu sedih apabila teringat balik kisah itu. Malah, saya juga jarang membuka mulut kerana insiden yang berlaku memberikan impak kepada seluruh keluarga,” kata Cik B.

Menurut Cik B, ibunya, Datuk Vida yang berada di luar negeri ketika itu mengambil tempoh yang lama untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Cik B kini bergelar duta Skuad Lembaran Baharu Astro bersama barisan selebriti lain antaranya, Elly Mazlein, Alif Satar, Radin Era, Dina Nadzir dan ramai lagi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

28  −    =  21