#WAAW: Berbuka puasa ala Muhibbah Malaysia di Hotel Pavillion KL

 #WAAW: Berbuka puasa ala Muhibbah Malaysia di Hotel Pavillion KL

Setiap kali tiba bulan Ramadan, pastinya aktiviti berbuka puasa bersama keluarga menjadi pilihan masyarakat di Malaysia. Aktiviti ini diamalkan bukan sahaja oleh kaum Melayu malah kaum dari pelbagai bangsa di negara ini turut sama memeriahkannya.

Diilhamkan oleh warna, citarasa tradisi dan muhibbah Malaysia, Hotel Pavilion Kuala Lumpur menyajikan buffet berbuka puasa dengan pelbagai juadah yang pastinya memenuhi citarasa semua.

Selain dari ruang makan yang bersih dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pastinya sesuai untuk sesiapa sahaja khasnya kepada keluarga serta sahabat handal yang mencari lokasi untuk berbuka puasa bersama.

Dengan mood ala kenduri dan tema muhibbah ini pastinya membuka selera yang berkunjung tiba ditambah dengan rasa istimewa yang menggoda selera anda.

Seolah-olah merasai nikmat berbuka puasa di kampung halaman dengan juadah yang sedap tetapi dengan penuh keselesaan.

Buffet mewah ini disediakan oleh pasukan yang berpengalaman luas, diketuai oleh Chef de Cuisine, Zaharullail Ashari atau dikenali sebagai Chef Awie.

Menu khas tahun ini adalah kambing panggang tradisional gaya Melayu, dinikmati dengan homemade sauce yang memberikan rasa unik dan sedap.

Juga disediakan pelbagai juadah berbuka seperti shawarma, ayam golek, aneka pilihan makanan laut dan daging panggang, lok-lok dan yang sememangnya menu yang  disukai ramai iaitu satay.

Terdapat juga menu wajib tempatan seperti bubur lambuk, rendang Tok Perak, laksa Pulau Pinang, char kway teow dan paling istimewa mereka menyediakan stesen dan ruang khas buat peminat raja buah Malaysia, Durian.

Sudut pencuci mulut menghidangkan pelbagai warna-warni kuih tradisional Malaysia yang lazat seperti apam balik, ais kacang dan cendol yang popular.

Harga buffet Muhibbah Malaysia ini bermula dari RM148 untuk dewasa, RM74 untuk kanak-kanak dan disediakan dari 16 April hingga 12 Mei 2021, bermula dari jam 6:30 petang hingga 10:00 malam di tingkat 7, The Courtyard.

 

WaaW Makan ini ditulis oleh Zuan Azmi, Pengarang Hiburan dan Gaya Hidup Wacana.my, zuan@wacana.my 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

46  −  45  =