#WAAW Artis tarik diri, anugerah hiburan negara tiada nilai?

 #WAAW Artis tarik diri, anugerah hiburan negara tiada nilai?

Selebriti menarik diri daripada pertandingan bukanlah suatu perkara baru. Pelbagai alasan diberikan oleh pihak yang mengundurkan diri, namun ternyata mereka mempunyai alasan tersendiri.

Tahun ini situasi yang sama berlaku lagi, industri seni digemparkan dengan berita aktor idaman malaya, Zul Ariffin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 34 (ABPBH34).

Menggunakan alasan memberi ruang kepada kelab peminat untuk berehat, anugerah berprestij itu lazimnya sebagai platform untuk mengangkat artis kesayangan masing-masing.

Zul bagaimanapun, menegaskan belum ingin bersara daripada bidang lakonan, sebaliknya ingin memperbaiki diri ke arah lebih baik. Malah, bintang filem Sangkar itu turut telah menjelaskan kepada penganjur alasannya untuk menarik diri.

Untuk rekod, Zul pernah memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pasangan Serasi (Filem) bersama Nur Fazura pada ABPBH31. Zul turut menitipkan doa buat semua selebriti tanah air yang tercalon dalam anugerah tersebut.

Mengikut senarai awal yang dikeluarkan, pelakon berkenaan tercalon dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular.

Pada malam kemuncak ABPBH 34 yang akan berlangsung pada 13 November ini  mempertandingkan 14 kategori utama dan enam kategori online.

Kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular Xiaomi, Pelakon TV Wanita Popular Xiaomi, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular.

Manakala enam kategori online yang dipertandingkan adalah Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular. Walaubagaimanapun, undian untuk kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular hanya akan dibuka mulai bulan Oktober depan.

Sebelum ini, pengacara popular, Neelofa turut mengambil pendekatan mengundurkan diri daripada anugerah yang sama atas alasan peribadi. Ada dikalangan artis yang mengambil pendekatan berehat seketika, namun ada yang bersara terus dripada program itu.

Pada penghujung tahun lalu, penyanyi Nabila Razali tidak dapat menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) atas faktor kesihatan.

Namun, Nabila akhirnya tampil menyanyikan lagu Peluang Kedua pada malam Anugerah Juara Lagu selepas pertandingan itu tertangguh akibat COVID-19.

Biarpun mungkin tidak menjejaskan perjalanan pertandingan atau acara, namun sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan reputasi program kegemaran ramai itu.

Berbeza dengan senario bersama bintang antarabangsa, kehadiran Beyonce, Rihanna, Katy Perry, Lady Gaga, Jenifer Lopez dan ramai lagi di acara karpet merah dengan persalinan indah sentiasa menarik perhatian.

Selain mengiktiraf bintang Hollywood daripada aspek bakat dan karya, penampilan mereka di acara atau majlis anugerah sering menarik perhatian. Contohnya seperti Kim Kardashian yang hadir berselubung hitam di Met Gala 2021 turut menjadi bualan hangat.

Menggunakan sebaik mungkin tema bagi sesuatu majlis anugerah, bintang antarabangsa juga menggunakan sebaik mungkin platform untuk mengenegahkan fesyen terkini. Ibarat biar tidak tercalon untuk mana-mana kategori, namun kehadiran mereka tetap meninggalkan impak berbanding mereka yang pulang dengan trofi.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =