VTL darat, udara pencetus kebangkitan semula ekonomi dua negara

 VTL darat, udara pencetus kebangkitan semula ekonomi dua negara

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat serentak dengan VTL udara di sempadan Malaysia-Singapura pada 29 November ini akan menjadi pencetus kebangkitan  semula ekonomi kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pelaksanaan VTL tersebut merupakan keputusan yang pastinya melegakan rakyat di kedua-dua negara.

“Saya berpendapat pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 bagi kedua-dua negara, khususnya di Johor.

“Johor khususnya yang telah memberi tumpuan berhubung isu berkenaan akan mendapat manfaat daripada langkah ini.

“Memandangkan Johor merupakan jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi, apatah lagi Singapura merupakan pelabur terbesar negeri ini sejak dahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif VTL darat akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara menggunakan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula 29 November ini.

Hasni Mohammad yakin pelaksanaan VTL yang akan dilaksanakan mulai 29 November kini mampu menjadi pencetus kebangkitan semula proses pemulihan ekonomi negara dan negeri Johor

Mengulas lanjut, Hasni berkata, pelaksanaan VTL darat dan udara itu seperti membawa sinar bahagia untuk rakyat kedua-dua negara termasuk menyambung dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Jelasnya, menerusi pelaksanaan VTL, suami atau isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga, anak-anak pula dapat kembali ke pangkuan ibu bapa malah rakyat kedua-dua negara sudah boleh mengunjungi saudara mara masing-masing.

“Yang penting, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali semula ke tanah air sudah berakhir,” katanya.

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, beliau berkata, kerajaan menerusi kerjasama pelbagai agensi peringkat negeri dan Persekutuan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam.

“Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkasa bagi mengelak tercetus semula penularan COVID-19.

“Kedua-dua negara tidak mampu lagi untuk menutup semula pintu sempadan kerana saling bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *