VTL Darat akan disambung semula – Hasni

 VTL Darat akan disambung semula – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 20  Januari – Inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia dan Singapura akan disambung semula selepas ditangguhkan sementara sebelum ini berikutan penemuan varian baharu, Omicron.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad memaklumkan,

pihaknya akan terus  memantau situasi semasa melibatkan varian baharu COVID-19 itu bagi memastikan pelaksanaan VTL Darat berjalan lancar selepas ditangguhkan kira-kira sebulan.

“Saya juga berhasrat untuk meminta kerajaan Pusat meningkatkan jumlah pengembara yang boleh merentas antara kedua-dua negara menerusi inisiatif berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, di sini hari ini. 

Hasni Mohammad (tengah) melihat operasi dron pada Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, Iskandar Puteri, hari ini.

Disember lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura hingga 20 Januari 2022.

Keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan COVID-19 kemungkinan varian Omicron.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, kerajaan negeri merancang membuka sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di daerah ini bagi pelaksanaan suntikan ketiga atau dos penggalak.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) serta beberapa agensi berkaitan berhubung cadangan berkenaan,” katanya.

Mengenai pelancaran Tapak Ujian Dron Iskandar Investment Berhad (IIB), beliau barkata, kemudahan tersebut bakal menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah RM350 juta menjelang 2025.

Selain itu, ia juga dijangka menarik kemasukan 70 syarikat dron yang akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus akan meningkatkan ekonomi setempat dan mengukuhkan kedudukan Iskandar Malaysia sebagai Hab Digital Johor.

“Untuk mengukuhkan lagi agenda ini, saya menyeru IIB dan pemain industri dron dan robotik sedia ada untuk memberikan tumpuan dalam pembangunan bakat generasi muda.

“Suka atau tidak kita perlu memastikan generasi muda mahir dengan kemahiran dan ilmu teknikal agar mereka dapat terus menyumbang dalam industri yang telah dimulakan generasi kini,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan strategik, persekitaran mesra pelabur, infrastruktur asas lengkap dan modal insan di sekitar Iskandar Puteri berupaya menjadi batu loncatan pembangunan ekonomi Johor

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

40  −    =  33