‘Viral audio’ heret UMNO masuk kemelut lebih buruk

 ‘Viral audio’ heret UMNO masuk kemelut lebih buruk

Oleh Mohd Kamal Ahmad

PETIKAN kata-kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengenai kes audio viral yang dikatakan melibatkan perbualan telefon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat menarik. Ada tiga prinsip yang beliau tegaskan iaitu orang politik kena jujur, berani membuat penjelasan dengan apa yang dilakukan serta tidak menyalahkan orang lain. Kemudian Annuar menyebut soal dirinya yang sangat kecewa dan dikhianati sehingga terasa hendak menarik balik sokongan beliau berhubung keputusan PAU 2020 lalu.

Tan Sri Annuar Musa

“Saya cuba mendengarnya malam tadi berkali-kali. Dan sebagai orang yang amat dekat, dan amat rapat dengan kedua-duanya, pengecaman suara tu bukanlah menjadi suatu yang terlalu rumit. Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar tu saya rasa boleh cam.

“Dan terus terang saya katakan setakat yang saya buat pengecaman, saya pasang dekat lebih 10 kali malam tadi, saya yakin 100 peratus itu adalah suara tulen, bukan orang buat-buat,” kata Annuar mengulas isu audio viral pemimpin tertinggi UMNO dan PKR itu.

Kenyataan Annuar mungkin mencerminkan sikap sebahagian ahli UMNO yang sangat kecewa dengan kejadian ini. “…sebab baru sahaja pernyataan diisytiharkan dalam PAU yang mendorong ahli-ahli perwakilan membuat suatu ketetapan memberi sokongan tertentu berdasarkan kepada fakta yang dimaklumkan dalam PAU. Tiba-tiba belum pun 24 jam persidangan berlangsung, jelas perkara lain dilakukan. Jadi saya rasa telah dikhianati sebagai perwakilan.”

Dalam kenyataan media semalam, Zahid akan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis berhubung penularan rakaman audio tersebut. Tujuan laporan polis itu, kata beliau, bagi mengenal pasti dalang individu atau pihak yang bertanggungjawab terhadap audio berkenaan.

Sama ada audio itu suara tulen, palsu  atau  hasil kerja-kerja suara digital mahupun kecanggihan AI (artificial intelligence), hanya hasil siasatan polis akan menentukan statusnya termasuk kemungkinan ada pihak bertindak dan berselindungi di sebalik alasan perisian teknologi itu.

Ternyata semakin banyak ‘pahat berbunyai’ selepas PAU 2020, 28 Mac lalu. Beberapa jam lalu, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan jika rakaman itu benar maka Zahid tidak layak memimpin parti itu kerana ia perbuatan tidak bertanggungjawab ketika mana ahli sedang meletakkan harapan tinggi kepada Zahid untuk UMNO menang dalam PRU akan datang.

“Mengenai rakaman audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara.

“Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” kata Tengku Razaleigh dipetik daripada sebuah portal hari ini.

Datuk Seri Nazri Aziz

Datuk Seri Nazri Aziz pula meminta Kementerian Dalam Negeri menyiasat penyebaran audio itu kerana semua pihak mahu tahu sama ada ia benar-benar tulen atu palsu.

“Hanya siasatan pihak polis akan memberikan kita cerita sebenar,” kata Nazri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam jawapan ringkas kepada soalan wacana.my menerusi Whatsapp berkata: “Macam-macam sekarang ini. Tapi yang lebih real ialah guna artificial intelligence.”

Ternyata ‘kemelut dalaman’ UMNO sebagaimana dinyatakan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semakin memburuk. Beliau sebelum ini menegaskan, hanya ada satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO sekarang iaitu mengadakan pemilihan parti tahun ini tetapi ada pemimpin lain yang menyanggah.

Jadi terpulang kepada Zahid untuk memilih cara mana hendak meredakan kemelut dalaman UMNO ini yang sebelumnya ini hanya berkisar soal kerjasama dengan PN dan BERSATU, kemudian melarat soal sikap pemimpin UMNO yang angkuh membedal BERSATU dalam PAU2020 dan sejak kelmarin panas dengan ‘viral audio pakatan Zahid dengan Anwar.’

Sementara itu, dalam FB Prihatin Johor dipaparkan promosi poster rancangan bual bicara siri pertama bagi mengupas dan membincangkan persoalan mengenai adakah ‘Penyatuan Melayu Islam Lebih Penting Dari Survival UMNO’. Program ini dijadualkan disiarkan secara eksklusif jam 9 malam ini (Jumaat) menerusi FB Prihatin Johor.

Antara yang ditunggu-tunggu ialah pendirian panelnya, Dato’ Osman Sapian. Apakah beliau akan tampil mengupas soal sikap pemimpin UMNO Johor yang tidak lagi menunjukkan semangat setia kawan dan permuafakatan? Apakah beliau juga akan mengheret sikap ‘big brother’ UMNO apabila menolak kerjasama perpaduan Melayu dan menamatkan kerjasama dengan BERSATU seperti dinyatakan oleh Zahid? Dan, apakah Osman akan mengambil ruang ini untuk menyentuh isu audio viral Zahid dan Anwar? Sebagai pemimpin veteran dan vokal, semua skop ini mungkin tidak akan terlepas daripada diperkatakan oleh Osman esok.

Rumusan ringkas di sini ialah kapal UMNO semakin tidak terkawal kerana kapten dan krewnya. Seakan-akan gerakan mendesak Zahid berundur, semakin ketara dan berani. Kelompok tertentu kena berani bangkit kerana mungkin inilah hikmat daripada kemelut sekarang untuk memperbaharui UMNO.

Artikel ini juga ditutup dengan kenyataan Annuar: “Dan apabila ada penafian datang daripada kedua-duanya, saya fikir orang politik kena jujurlah dan hendaklah berani kalau kita melakukan sesuatu, beri penjelasan tanpa apa lagi kita nak menafikan kemudian cuba menuduh orang lain.”

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

58  +    =  62