• Sunday, 20 June 2021, 11:25 am

Varian gabungan UK dan India jadi ancaman baru dunia

 Varian gabungan UK dan India jadi ancaman baru dunia

HANOI, 30 Mei – Pihak berkuasa di Vietnam telah mengesan varian baharu COVID-19 yang merupakan gabungan varian UK dan India selain mempunyai kadar penyebaran yang cepat melalui udara, kata Menteri Kesihatannya semalam.

Memetik dari laporan Reuters, Nguyen Thanh Long berkata, pihaknya telah menemui varian COVID-19 baharu yang menggabungkan ciri-ciri dari dua varian yang pertama kali dijumpai di India dan United Kingdom (UK) selain menggambarkannya sebagai kacukan pertama dari dua varian yang diketahui.

“Setelah berjaya membendung virus tersebut hampir sepanjang tahun lalu, Vietnam kini menghadapi peningkatan kes jangkitan sejak akhir April lalu yang menyumbang lebih daripada separuh daripada keseluruhan 6,856 kes yang didaftarkan serta merekodkan 47 kematian.

“Selain mudah merebak melalui udara, varian baharu itu mereplikasi dirinya dengan sangat cepat, sekali gus menjelaskan mengapa begitu banyak kes baru muncul di pelbagai tempat di negara ini dalam jangka waktu yang singkat.

Vietnam setakat ini telah mengesan tujuh varian virus: B.1.222, B.1.619, D614G, B.1.1.7 – dikenali sebagai varian UK, dan B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2 – “Varian UK”.

Thanh Long mengatakan, Vietnam akan segera menerbitkan data genom dari varian baharu ini ke peta genom dunia, selain mengatakan ianya lebih mudah disebarkan daripada varian sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian COVID-19 yang menjadi perhatian global. Ini termasuk varian yang muncul pertama kali di India, Britain, Afrika Selatan dan Brazil.

Menurut Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, pihaknya belum membuat penilaian mengenai varian virus yang dilaporkan di Vietnam.

“Pejabat negara kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di Vietnam dan kami mengharapkan lebih banyak maklumat tidak lama lagi.

“Menurut kajian WHO ketika ini, varian yang dikesan di Vietnam adalah varian B.1.617.2, lebih dikenali sebagai varian India, mungkin dengan mutasi tambahan. Bagaimanapun, kami akan memberikan lebih banyak maklumat segera setelah kami menerima maklumat secukupnya,” tambah Van Kerkhove dalam satu kenyataan.

Vietnam kini berusaha mendapatkan 10 juta dos vaksin di bawah skim pembaharuan kos COVAX serta 20 juta dos vaksin Pfizer dan 40 juta dos vaksin Sputnik V.

Setakat ini, kira-kira 2.9 juta daripada 98 juta rakyatnya telah menerima dos vaksin dan negara itu mensasarkan 150 juta dos akan diberikan, tahun ini.

Di dunia, terdapat 169,118,995 kes COVID-19 disahkan, termasuk 3,519,175 kematian seperti dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 Mei.

Amerika Syarikat (AS), India dan Brazil kekal negara teratas dengan jumlah kes positif dan kematian tertinggi. Namun, di negara yang mempunyai kadar vaksinasi lebih tinggi termasuk AS dan United UK telah menunjukkan penurunan dalam kes baharu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *