• Sunday, 20 June 2021, 8:46 am

Vandalism atau khianat musim PKP 3.0?

 Vandalism atau khianat musim PKP 3.0?

Papan tanda yang dirobohkan di Kuala Pintasan, Kota Belud. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

Mohd Azrone Sarabatin

KOTA BELUD, 8 Jun — Pekebun dan penternak di tanah rizab padang ragut Kuala Pintasan, dekat sini terkejut apabila papan tanda larangan menceroboh dan memagar tanah mereka untuk tujuan mengambil tanah dirobohkan pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.

Bukan itu saja, kawasan berhampiran pantai yang mereka jadikan tempat riadah turut dijadikan tempat pembuangan sampah.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Labuan, Rusidi Merjin berkata papan tanda itu dipasang ahli persatuan berkenaan sebelum Aidilfitri dan dirobohkan pihak terbabit ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, penduduk Kampung Labuan, Wakap dan Taun Gusi antara yang dibenarkan kerajaan untuk menternak dan bercucuk tanam mengikut kawasan diwartakan untuk kampung masing-masing.

Beliau berkata, penduduk kampungnya adalah antara pemegang amanah kepada tanah berkeluasan 364 hektar di kawasan padang ragut berkenaan.

Sampah dibuang di kawasan yang baru dibersihkan dekat pantai Kuala Pintasan, Kota Belud. Foto WMY/Mohd Azrone Sarabatin

“Sebelum Aidilfitri kami mengadakan gotong royong membersihkan satu kawasan berhampiran pantai Kuala Pintasan dan kawasan rekreasi, selain memasang papan tanda menjaga kebersihan dan larangan menceroboh kawasan berkenaan untuk tujuan memagar dan mengambil tanah.

“Namun ketika negara melaksanakan PKP 3.0 ada pula pihak merobohkan papan tanda berkenaan, selain membuang sampah di kawasan yang kami bersihkan.

“Tidak pasti, sama ada ini vandalism, perbuatan khianat atau provokasi untuk membangkitkan kemarahan kami kerana kawasan berkenaan turut menarik minat syarikat besar dan orang perseorangan untuk dimajukan,” katanya kepada Wacana.my.

Rusidi berkata, selain merosakkan papan tanda dan membuang sampah, ada juga pihak tertentu membakar rumput kebun penduduk sehingga menyebabkan kerugian kepada pemiliknya kerana tanaman dan pagar turut terbakar.

“Kami harap pihak berkuasa membantu kami menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan terhadap suspek mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Tanah rizab padang ragut itu dianugerahkan Kerajaan Borneo Utara (North Borneo) kepada penduduk kampung terbabit pada tahun 1956 untuk kegiatan penternakan lembu dan kerbau dan diiktiraf kerajaan Sabah selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Rusidi turut berharap supaya Kerajaan Sabah menyelesaikan isu tuntutan mereka  terhadap rizab padang ragut Kuala Pintasan dengan meluluskan geran kepada penduduk kampung serta-merta.

“Sudah lama penduduk kampung menternak haiwan seperti lembu dan kerbau di kawasan berkenaan dan kami tidak mahu menyerahkannya kepada syarikat bukan milikan Bumiputera dan individu yang mahu mengambil tanah berkenaan,” katanya.

Mohd Azrone Sarabatin

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *