Vaksin tanggungjawab bersama, lindungi yang tersayang

 Vaksin tanggungjawab bersama, lindungi yang tersayang

Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Shamsudin

KUALA LUMPUR, 15 Jun. – Keputusan tegas kerajaan dalam perlaksanaan ‘full lockdown’ menerusi PKP 3.0 mula menampakkan hasilnya apabila bilangan kes harian mula berkurangan.

Bagaimanapun risiko jangkitan COVID-19 masih lagi kekal, terutamanya kepada golongan yang berpenyakit selain mempunyai komplikasi kesihatan.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), berjuta dos vaksin telah diberikan selain beratus-ratus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kini dibuka di seluruh negara, termasuklah PPV bergerak dan program Outreach yang memastikan penduduk luar bandar turut dilindungi.

Menurut Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Shamsudin berkata vaksinasi dan imuniti kelompok adalah jawapan yang berkesan bagi memastikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat kekal dilindung.

“Saya menyokong gesaan pelbagai pihak agar rakyat segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin. Selain dari pematuhan SOP dan penjarakan sosial, hanya vaksin membolehkan kita kembali ke kehidupan normal dalam masa yang terdekat. Ini telah terbukti di beberapa negara seperti United Kingdom, di mana masyarakat mereka telah mula keluar menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial seperti biasa, disebabkan majoriti rakyat mereka sudah divaksin.

“Bagaimanapun, usaha kerajaan ini hanya akan mencapai matlamat sekiranya setiap seorang daripada kita, tidak kira usia dan latarbelakang, turut memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan usaha ini,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, setiap orang memainkan peranan penting dalam pendaftaraan vaksin selain memuji usaha kerajaan dalam penambahbaikan sistem PICK.

“Setiap seorang dari kita juga perlu membantu ahli keluarga kita, sanak saudara, rakan-rakan dan jiran tetangga mendaftar. Kerajaan tak putus-putus menambahbaik sistem yang ada. Kita semua bertanggungjawab untuk memastikan sasaran 80 peratus imuniti kelompok negara kita tercapai.

“Yang paling penting, kita perlu mendaftar untuk divaksin, menerusi saluran yang telah disediakan seperti https://www.vaksincovid.gov.my/ dan MySejahtera, dan menghadiri temujanji yang telah ditetapkan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk menolak ajaran-ajaran anti-vaksin yang menular di media sosial.

“Pandangan golongan yang menolak sains dan pakar perubatan ini amat merbahaya dan mesti dihentikan. Jangan kongsi dakwaan-dakwaan yang tidak pasti. Dapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perubatan jika perlu,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *