Vaksin: Musim tengkujuh tak jejas operasi pemberian dos penggalak

 Vaksin: Musim tengkujuh tak jejas operasi pemberian dos penggalak

BERA, 28 Okt — Musim tengkujuh yang dijangka melanda beberapa negeri bermula pertengahan November ini, tidak akan menjejaskan operasi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 yang sedang berjalan kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang layak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ini kerana pemberian dos itu dilakukan di fasiliti kesihatan swasta dengan pihaknya dimaklumkan jumlah pengamal perubatan am swasta (GP) yang mendaftar untuk mengambil bahagian juga semakin bertambah.

“ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (syarikat di bawah KKM yang ditugaskan menyelaraskan penglibatan GP di bawah Program Imunisasi COVID-19) juga akan melaksanakan kursus kepada GP terlibat berikutan pertambahan pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau pemberian vaksin kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Triang 2, di sini hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan memberikan suntikan vaksin jenis Pfizer kepada dua pelajar yang menerima dos kedua mereka.

Menurutnya sebagai contoh di Pahang, terdapat 85 klinik memohon sebagai GP dengan 63 daripadanya sudah mula beroperasi, selain turut mendapat bantuan klinik kesihatan bagi mempercepatkan proses tersebut.

Berhubung pemberian dos penggalak kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) Pahang, Dr Noor Azmi berkata 8,323 petugas telah menerima dos tersebut setakat ini, sejak ia dimulakan pada 15 Okt lepas.

Sementara itu, menjelaskan kekeliruan pada data perkembangan program imunisasi di laman web COVIDNOW yang menunjukkan tiga negeri telah melebihi 100 peratus, Dr Noor Azmi berkata ia disebabkan ada yang ‘memilih’ mendapatkan vaksin di negeri tersebut berbanding di fasiliti kesihatan tempat tinggal mereka.

Peratusan yang melebihi had itu direkodkan di Lembah Klang dengan 115 peratus, Labuan (101.4 peratus) dan Negeri Sembilan (101 peratus) menyebabkan berlaku kekeliruan kerana had maksimum sepatutnya hanya 100 peratus.

“Trend mengambil vaksin di negeri itu juga menyebabkan peratusan di beberapa negeri lain masih rendah, sedangkan apabila dilihat kehadiran di PPV (di negeri peratusan rendah) untuk menerima vaksin sudah berkurangan sehingga ada PPV ditamatkan operasi.

“Walaupun jumlah peratusan penerimaan vaksin tidak tinggi, kes baharu dan peratusan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19 semakin menurun. Ini trend baik, menunjukkan jumlah mereka yang telah menerima vaksin adalah lebih tinggi daripada data penduduk yang ada pada kita,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata peratusan itu juga tidak menjejaskan data KKM termasuk data untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana matlamat kerajaan adalah memastikan seramai mungkin penduduk menerima vaksin.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *